Biar Pimpinan Tentukan Calon MB Jika Berjaya Tawan Perak – Datuk Zainal Azman

Reading Time: < 1 minute

Ipoh – Bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman berkata berdasarkan pengalamannya sebagai penjawat awam, beliau yakin dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik jika dipilih menjadi wakil rakyat bagi DUN Kuala Sepetang (N13) dalam pilihan raya ke-15 ini.

“Disebabkan saya pernah berkhidmat sebagai setiausaha kerajaan negeri Perak, ia dapat membantu saya menembusi beberapa kawasan contohnya Changkat Ibol yang PKR (dahulu) hanya mendapat undi kurang dari 10%…di mana itu merupakan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

“Penerimaan (pengundi) adalah agak baik, tambahan, dengan pengalaman yang saya ada sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan juga lain-lain termasuk di agensi pengurusan bencana, saya percaya perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh masyarakat boleh diselesaikan dengan kaedah terbaik,” katanya kepada wartawan melalui sidang secara maya dari Kuala Sepetang melalui aplikasi Zoom di Pejabat Keadilan Negeri Perak di sini.

Beliau menambah, itu adalah hasrat utama beliau dan juga kepimpinan PH untuk memperbaiki taraf hidup rakyat di Kuala Sepetang supaya mereka mempunyai peluang yang lebih baik dalam perniagaan.

DUN Kuala Sepetang (N13) pernah dimenangi calon PKR pada PRU 2008 dan 2013 namun tewas tipis pada PRU-14 dengan hanya 329 undi.

Selain Zainal Azman, turut bertanding di N13 ialah penyandangnya, Mohd Kamaruddin Abu Bakar dari Barisan Nasional, Ahmad Man dari Perikatan Nasional dan Zaza dari GTA.

Apabila ditanya mengenai calon menteri besar Perak, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada keputusan pilihan raya nanti dan semuanya terserah kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan.

“Mungkin terdapat calon lain yang boleh dipertimbangkan pucuk pimpinan parti,” kata beliau yang pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada 2019.

Pada 3 November lalu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli secara terbuka menyatakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu adalah calon menteri besar sekiranya PH berjaya menawan Perak nanti.