(ULASAN) – Apabila menghadiri majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi yang melibatkan tetamu VVIP, budaya memberi ‘hadiah’ kepada tetamu masih lagi diamalkan oleh pihak-pihak yang dianggap mempunyai kepentingan tertentu. Mereka ini sama ada tidak sensitif dengan perkembangan semasa atau masih menganggap ia sesuatu yang tidak salah dan tidak mengapa. Tidak pasti apakah niat sebenar mereka sama ada sebagai tanda kenang-kenangan atau ada udang di sebalik batu.
Dalam acara yang melibatkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan termasuk Menteri Besar dan para EXCO kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan atau ketua pengarah dan sebagainya, budaya pemberian hadiah ini masih lagi berlaku.
Walaupun hadiah yang diberi mungkin tidak seberapa, dikhuatiri akan sampai suatu masa nanti ia akan menjadi suatu kemestian pula. Bila ada VVIP yang menjadi tetamu, maka mesti ada ‘hadiah’ untuk mereka. Lebih buruk lagi apabila pemberian hadiah dijadikan suatu perlumbaan siapa di antara mereka yang memberi hadiah yang paling berharga sekali, mungkin mahu menambat hati tetamu VVIP tersebut.
Jika tiada hadiah, majlis tersebut akan dianggap seperti tidak menghargai tetamu VVIP tersebut. Lebih buruk lagi bila ada pula pihak tertentu yang mempunyai hajat besar maka akan cuba memberi sumbangan dalam nilai yang besar pula.
Lama-kelamaan ia boleh berubah menjadi gejala rasuah. Inilah permulaan kepada perlakuan rasuah. Padahal, ia sangat bertentangan sekali dengan hasrat kerajaan Malaysia baru yang diterajui Tun Mahathir yang ingin memerangi rasuah sehingga ke tahap sifar.
Sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pusat, kerajaan telah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), berperanan memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membantu menggubal undang-undang melibatkan rasuah dan merangka kaedah pentadbiran terbaik supaya kegiatan rasuah dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.
Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mengarahkan tidak ada mana-mana pemimpin kerajaan khasnya menteri menerima hadiah berharga kecuali pemberian dalam bentuk makanan dan bunga sahaja.
“Anggota kabinet tidak boleh terima hadiah kecuali makanan dan bunga saja bukan barangan bernilai,” katanya.
Jika kenyataan Tun diteliti, ini bermakna plak, bingkai gambar, lukisan seni dan sebagainya adalah termasuk hadiah yang tidak boleh diterima oleh pegawai kerajaan.
Masyarakat umum terutama mereka yang terlibat dalam mengacarakan majlis-majlis yang mengundang pegawai tinggi kerajaan sebagai tetamu kehormat sepatutnya sedar akan hal ini dan sudah tiba masa mereka mengubah persepsi dan amalan kuno mereka itu.
Dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, budaya lama yang membazir wang patut dihumban jauh dan tidak perlu lagi diamalkan. Rakyat Malaysia sedang menuju ke arah era corak pemikiran baru dimana budaya pemikiran kolot dan mentaliti yang kuno tidak sepatutnya wujud lagi dalam masyarakat.