Ustaz Kazim Akan Jual Unit Tahfiz di Manjoi

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Ketika isu cadangan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin supaya sekolah tahfiz ditutup mendapat tentangan keras beberapa NGO Islam, hari ini umat Islam pula dikejutkan dengan berita sedih apabila pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias akan menjual Unit Tahfiz Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi.

Menurut Datuk Mohd. Kazim, beliau mengambil keputusan itu kerana menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu menanggung kos pentadbiran Unit Tahfiz berkenaan. Beliau menjelaskan, perbelanjaan sehingga RM150,000 sebulan diperlukan bagi menampung kos keseluruhan unit itu yang menempatkan 100 pelajar.

“Selain Unit Tahfiz, kita turut mempunyai Tadika Nurul Barakah dan Pengajian Pondok dewasa. Bagaimanapun, saya hanya menjual Unit Tahfiz ini sahaja seperti yang diiklankan.

“Saya terpaksa membuat keputusan ini setelah memikirkan nasib guru dan pelajar. Penjualan ini dilihat dapat menampung kos pentadbiran dua unit lain,” katanya di Ipoh pada Selasa.

Sebelum ini tular mengenai penjualan Unit Tahfiz berkenaan di laman sosial dan turut diiklankan menerusi laman mudah.my. Semalam Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Haji Azhar Ahmad menyifatkan cadangan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa untuk menutup sekolah tahfiz sebagai satu pemikiran yang dangkal dan keterbelakangan. Datuk Azhar sebaliknya mempersoalkan motif sebenar Tan Sri Zainuddin melemparkan cadangan itu yang langsung tidak bertepatan dengan perkembangan semasa sekolah tahfiz di seluruh negara .

“Kami menentang sekeras-kerasnya cadangan Tan Sri Zainuddin untuk menutup sekolah tahfiz di seluruh negara.

“Sepatutnya kita bantu baiki dan memperkasakan sekolah tahfiz di negara ini kerana ia akan melahirkan ramai insan kamil yang berilmu sekaligus menjadikan negara makmur dengan mendapat rahmat dari Allah sebagaimana disebut dalam al-Quran,” kata Datuk Azhar kepada Independent di pejabatnya di Meru Permai, Ipoh pada Isnin. 

Zainuddin dalam blognya zamkata.blogspot.com kelmarin meminta Mujahid menutup sekolah tahfiz sebagai usaha membawa keluar umat Islam daripada ‘amalan agama jumud’. Beliau yang dikenali sebagai Zam dalam blognya turut mendakwa sekolah tahfiz di negara ini tidak memberi harapan kepada masa hadapan generasi baharu Islam.