Cadangan untuk meletakkan lambang berhenti merokok pada jersi pasukan bolasepak Perak dalam persaingan Liga Malaysia musim depan dilihat sangat tidak sesuai dan tidak pernah dibuat oleh mana-mana pasukan profesional dalam dunia.
Menurut laporan sebuah laman berita tempatan pada Sabtu, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) bercadang meletakkan lambang berhenti merokok di jersi pasukan bolasepak Perak pada musim akan datang.
Menurut laporan itu lagi, Presiden PAFA, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu akan membuat pengumuman tentang itu dalam satu majlis memperkenalkan barisan pemain dalam waktu terdekat.
Walaupun kempen kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan ruang merokok agar rakyat dapat menikmati udara yang lebih bersih terutama di dalam restoran dan tempat-tempat awam, tindakan meletak lambang pada jersi dilihat bukan saja tidak sesuai malah tidak profesional.
Ia akan mencacatkan rupa jersi pasukan The Bos Gaurus.
Jersi pasukan bukanlah sebuah papan tanda atau papan kenyataan hingga perlu diletakkan lambang berhenti merokok padanya.
Adalah lebih baik ruang yang hendak diletak lambang berhenti merokok tersebut dijual kepada syarikat penaja yang mahu mengiklankan produk mereka. Apa yang dilakukan oleh kelab Shefiled Wednesday hanya membantu dalam jangka pendek kempen National Health & Social Care menjalankan kempen berhenti merokok dalam masa 28 hari di bulan Oktober setiap tahun. Ia dapat memberi pulangan kepada kelab dan pasukan berbanding membazirkan ruang untuk meletak mesej kesihatan yang tidak mendatangkan sebarang sumber kewangan kepada pasukan.
Ia hanya boleh berlaku jika ada pihak yang benar-benar serius berkempen untuk berhenti merokok seperti institusi perubatan atau NGO kesihatan dengan membeli ruang pada jersi pasukan dengan membuat sedikit bayaran kepada pihak PAFA, tanpa memberi ruang secara percuma kepada kempen yang tidak nampak sebarang kesan kepada orang ramai.
Papan tanda atau billboard kempen berhenti merokok boleh ditemui di mana-mana dan adalah tidak masuk akal ia dilekatkan secara kekal bersama jersi pasukan bolasepak negeri.