Cubaan Rompak Kedai Emas Gagal

  • 14
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

Foto dari Facebook Diana Suzanna

IPOH , 30 Ogos — Sekumpulan penjenayah melarikan diri dengan tangan kosong selepas gagal memecahkan cermin ruang
pameran sebuah kedai emas di Jalan Lapangan Terbang di sini, pada pukul 1.30 tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Anuar Othman berkata, dalam cubaan merompak itu, salah seorang daripada 
kumpulan itu telah masuk ke premis berkenaan dengan bersenjatakan pistol.

“Suspek yang bertopeng telah melepaskan empat das tembakan ke arah dinding namun pengawal keselamatan yang berada 
berdekatan telah mengacukan senapang patah ke arah suspek.

“Suspek yang terkejut terus melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Myvi yang sedia menunggu di luar premis dan 
kita percaya lebih daripada dua suspek terlibat dalam kes ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian 
di sini hari ini.

Katanya, tiada pelanggan ketika kejadian berlaku dan terdapat tiga individu iaitu dua pekerja dan seorang pengawal 
keselamatan berada dalam premis berkenaan.

Anuar berkata hasil siasatan, pihak polis menemui kenderaan Myvi yang dinaiki suspek kira-kira 500 meter dari kedai 
emas terbabit.

“Kereta itu telah menuju ke arah Jalan Harilela, Taman Seri Rapat dan meninggalkan kereta dinaiki di jalan terbabit 
dan membakar bahagian dalam kenderaan itu,”

“Bagaimanapun kebakaran dapat dipadamkan selepas penduduk di taman perumahan itu menghubungi polis dan bomba sempat 
memadamkan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mendapati kereta yang digunakan kumpulan itu dilaporkan hilang di Kuang, Selangor pada April 
lepas selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Anuar berkata berdasarkan kenyataan saksi, beberapa suspek dilihat melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran 
dengan berjalan kaki dipercayai menuju ke jalan besar.

Beliau berkata polis sedang mengesan kumpulan penjenayah itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya 
diminta tampil membantu siasatan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, katanya.

— BERNAMA