Bersatu Tidak Dapat Sambutan Orang Melayu – Annuar Musa

Reading Time: < 1 minute

PASIR SALAK | Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan UMNO tidak boleh bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana parti itu ditolak oleh orang Melayu.

Katanya, realitinya orang melayu menolak PPBM kerana parti itu tidak mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu.

Menurut beliau lagi, bersandarkan realiti ini jugalah  maka UMNO dan PAS yang mendapat dokongan yang ramai perlu mengambil tanggungjawab menjaga kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

“Kita tidak boleh bergabung dengan satu benda yang orang Melayu tolak (reject)  sekarang orang Melayu tidak mahu PPBM.

“Jadi kami sebagai dua parti yang mempunyai keahlian yang ramai, cawangan yang ramai, latar belakang yang panjang mendapat dokongan rakyat buat masa ini maka kita kena ambil tanggungjawab itu.

“UMNO dan PAS cuba untuk membantu Dr. Mahathir atas kegagalan beliau, kegagalan parti Bersatu dan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan,’’ katanya

Annuar berkata demikian kepada pemberita pada program Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 di Dataran Pekan Rabu, Sungai Manik malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir baru-baru ini yang mempelawa parti Melayu termasuk UMNO supaya menyertai Bersatu bagi mengelakkan bangsa Melayu berpecah.

Annuar seterusnya berkata, UMNO dan PAS perlu bergerak ke hadapan dengan skala besar berbanding sebelumnya.

Mengenai piagam muafakat nasional, katanya, UMNO dan PAS mensasarkan 10,000 ahli serta penyokong yang akan hadir pada majlis menandatangani piagam muafakat nasional sempena himpunan penyatuan ummah membabitkan dua parti teras orang Melayu itu pada 14 September ini.