DAP sebagai parti komponen Pakatan Harapan yang bergabung dalam kerajaan perpaduan tidak ada hasrat untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam apatah lagi berasaskan komposisi kaum.
“DAP dan PH komited dan akur dengan ketetapan dan perlindungan bagi kakitangan awam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan,” menurut satu kenyataan yang diterbitkan hari ini oleh Naib Pengerusi DAP, Dr Abdul Aziz Bari.
Tambahnya, DAP dan PH akur dengan prinsip kedaulatan undang²: tidak ada siapa yang dianiaya dan dinafikan hak mereka yang sah di sisi undang².
Mengenai komposisi kaum, DAP percaya prinsip sama rata yang menjadi tonggak perlembagaan negara sudah cukup kuat untuk memastikan perkhidmatan awam mewakili semua kaum di negara ini. Begitu juga jaminan tiada diskriminasi di kalangan anggota perkhidmatan awam.
ADUN Tebing Tinggi itu juga berkata DAP mempertahankan kedudukan dan peranan perkhidmatan awam yang bersifat neutral serta profesional.
“Sebenarnya ini sudah cukup untuk menjamin bahawa PH tidak akan mempolitikkan perkhidmatan awam walaupun atas nama mengurangkan dominasi kaum tertentu,” ujar beliau.
Dalam kenyataannya, beliau tidak merujuk kepada mana² pemimpin atau parti namun ia dipercayai berkait dengan kenyataan oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy di media sosial baru² ini yang mencadangkan Perdana Menteri melakukan reformasi perkhidmatan awam yang ‘dimonopoli’ satu kaum yang dirujuk sebagai Melayu.