Datuk Dr. Noor Azmi Isytihar Keluar UMNO, BN

Reading Time: 2 minutes

BAGAN SERAI: Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan negeri Perak pimpinan, YB Ahmad Faizal Azumu dan Pakatan Harapan.

Setakat ini Dr. Noor Azmi mengesahkan menjadi wakil rakyat bebas tetapi dijangka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Beliau berkata, keputusan yang diambilnya itu adalah satu keputusan yang penuh bermakna dan bersejarah buat dirinya serta rakyat Bagan Serai yang diwakilinya di Dewan Rakyat.

“Saya dengan ini umumkan, bahawa mulai saat ini saya keluar dari Umno dan BN, dan isytiharkan sokongan saya kepada Tun M dan kerajaan Pakatan Harapan (serta) MB Perak, Faisal Azumu,” kata Azmi kepada pemberita di Bagan Serai pada Ahad.

Tindakan beliau keluar daripada Umno menyebabkan parti itu kini hanya memiliki 53 kerusi parlimen, manakala BN memiliki 56 kerusi secara keseluruhan. Noor Azmi memenangi perlimen Bagan Serai dengan majoriti tipis 172 undi berbanding pencabarnya dari PAS, Rohaya Bakar pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Ditanya pemberita sama ada beliau keluar dari parti itu kerana kecewa dengan keputusan PRU, Azmi mendakwa beliau sebelum ini sentiasa dianggap sebagai ‘penghalang’ dalam Umno.

“Dalam lima tahun ni saya memang tak diterima oleh ahli bahagian,” katanya yang menjelaskan beliau juga tidak diterima memegang jawatan dalam bahagian.

Noor Azmi turut mendakwa pada PRU lalu, terdapat usaha oleh Umno Bagan Serai untuk mensabotaj pencalonannya. Bagaimanapun, Noor Azmi berulang kali menegaskan bahawa tindakan beliau menyokong HARAPAN adalah supaya dapat berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik.

“Tanya rakyat Bagan Serai. Saya bukan YB Datuk Dr. Azmi. Saya Doktor Azmi. Saya yang sunatkan anak cucu-cucu tuan.

“Saya kerja doktor dah 30 tahun. Klinik saya dah hampir 27 tahun,” katanya.

Noor Azmi juga berharap dengan sokongan terhadap HARAPAN, kerajaan akan memberikan bantuan kepada penduduk Bagan Serai.

“Tanpa kuasa dan peruntukan yang kuat, kita tak dapat tolong rakyat,” katanya yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai.

Menurut Noor Azmi, masalah dihadapi di Bagan Serai melibatkan isu pendidikan, pertanian dan sosioekonomi, serta kemudahan bekalan air di kawasan pedalaman. Untuk rekod, sebelum ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Abd. Muhaimin Abd. Rahman Nazri juga keluar UMNO menyertai Pakatan Harapan. UMNO Bahagian Bagan Serai mengakui terkejut dengan tindakan Datuk Abd. Muhaimin menyertai Pakatan Harapan. Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, meskipun tindakan Abd. Muhaimin sesuatu yang tidak dijangka, mereka akur dengan keputusan yang dibuat termasuk beberapa bekas ahli jawatankuasa bahagian dan ketua-ketua kampung di kawasan tersebut.

Malah Sham berkata, tindakan itu secara tidak langsung dapat ‘menyucikan’ UMNO daripada ahli-ahlinya yang tiada pendirian.

“Biarkan mereka bertukar parti, itu hak mereka kita tidak boleh menghalang. Lagipun kita tidak mahu mereka ini sebelah kaki berada dalam UMNO manakala sebelah kaki lagi pula ke arah lain.

“Sehingga kini Barisan Nasional (BN) Bagan Serai masih mendapat sokongan padu 80 peratus rakyat di kawasan ini. Ia terbukti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kita bukan sahaja dapat mempertahankan Parlimen Bagan Serai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu, malah berjaya merampas DUN Selingsing daripada PAS, cuma DUN Semanggol sahaja gagal kerana ia kubu kuat PAS,” katanya.