IPOH: Seperti dijangka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat mahu mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai yang disandangnya ketika ini.
Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada yang ingin bertanding jawatan yang disandangnya pada pemilihan bahagian itu nanti. Sham menjelaskan pendiriannya mempertahankan jawatan itu kerana pengalaman luasnya yang masih diperlukan parti.
“Saya berpendapat kepimpinan lama juga tidak harus diketepikan kerana pengalamanan luas mereka yang masih diperlukan parti selain menerima kehadiran pimpinan muda,’’ katanya.
Beliau menganggap senario keinginan dan kesungguhan pemimpin muda untuk bertanding pada pemilihan kali ini sebagai satu perkembangan yang amat positif. Sham berkata, sebagai contoh di Bagan Serai hampir semua ketua cawangan muka lama memberi laluan kepada muka-muka muda untuk meneruskan legasi UMNO. Mengenai pemilihan kali ini, Sham berkata pemilihan parti kali ini begitu penting dalam menentu hala tuju parti dan agenda perjuangan nasib masa depan orang Melayu. Menurut beliau lagi, sesiapa pun yang akan bertanding mesti berani kedepan untuk memartabatkan dan memulihkan semula imej UMNO.
“Kita mahu mencari orang yang berjuang memartabatkan kembali parti keramat ini.
“Hari ini jelas saya melihat kita dihina dengan teruk, namun tiada siapa yang bangun. Kali ini kita mahu mencari orang yang benar-benar berjiwa UMNO, berani mempertahankan UMNO,’’ kata Sham.