PH Supporters Tuntut Penjelasan Lantikan Penasihat Khas MB

Reading Time: 3 minutes

IPOH: Bermula dengan isu bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kosongkan kediaman rasmi menteri besar yang sudah dijawab Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Datuk Azumu kelmarin kini timbul pula isu perlantikan Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai penasihat Menteri Besar.

Isu itu yang dibangkitkan oleh Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Supporters negeri Perak, Roslan Ali dalam satu kenyataan pada Sabtu turut menuntut penjelasan berhubung perlantikan Setiausaha Politik dan Pegawai Khas Menteri Besar dari bekas ahli UMNO yang tidak bersama Pakatan Harapan sebelum ini.

Menurut Roslan, apa yang dibimbangi sekiranya isu kemelut perlantikan ini tidak ditangani segera ia boleh menjejaskan struktur pentadbiran kerajaan PH kerana wujud `duri dalam daging’ yang boleh menggugat ketelusan dan intergriti kerajaan baru berkenaan.

“Bayangkan jika pembersihan dalaman ini tidak dilaksanakan dengan telus dibimbangi kemungkinan berlaku kebocoran dan penyaluran maklumat berhubung strategi sulit dan perancangan kerajaan PH kepada pihak sana (UMNO).

“Ini merupakan satu permainan yang tidak elok berlaku dalam situasi yang mana kita telah bekerja keras bukan setahun dua tapi berbelas tahun…ada yang meninggal, terlantar sakit atas katil kerana berjuang menumbangkan kerajaan BN.

“Perlantikan yang melibatkan orang-orang bekas ahli UMNO ini tak sepatutnya berlaku dan kami merasa amat terkejut kerana Tun Mahathir sudah menyebut tak mahu orang UMNO masuk dalam Pakatan Harapan terlibat dalam pembentukan kerajaan.

“Ini berlaku di Perak…Setahu saya dinegeri lain tidak ada penasihat, pegawai khas dan setiausaha politik daripada orang bekas ahli UMNO….tak ada di Selangor tapi hairan kenapa Perak.?
“Kami pengundi merasa seronok atas kemenangan Pakatan Harapan baru-baru ini tapi malangnya dikhianati atas perlantikan yang kami rasa tidak sepatutnya berlaku,’’ katanya kepada Independent.my pada Sabtu.

Menurut Roslan lagi, pihaknya mempertikai perlantikan penasihat Menteri Besar kerana Pakatan Harapan juga mempunyai wakil rakyat dan barisan Exconya yang berpengalaman antaranya Haji Asmuni seorang peguam terkenal, mantan menteri besar, Datuk Seri Nizar Jamaludin berpengalaman luas semasa pentadbioran kerajaan pakatan rakyat selama 11 bulan dan Prof. Aziz Bari seorang pakar perundangan terkenal.

Roslan berkata, beliau memberi tempoh masa dua minggu kepada Menteri Besar untuk menyelesaikan kemelut ini. Katanya, pihaknya bersama Otai Reformasi juga bercadang menemui Penasihat UMUM PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri, Tun Mahathir bagi mengemukakan isu perlantikan ini untuk penyelesaian.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Multimedia, Komunikasi, NGO dan Pembangunan Koperasi Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, segelintir penyokong yang membantah keputusan tersebut seakan terlupa bahawa tindakan Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang telah membolehkan Kerajaan Pakatan Harapan tertubuh di negeri Perak.

“Para penyokong Pakatan Harapan (PH) bersorak gembira apabila berjaya menubuhkan kerajaan di Perak. Mereka juga bersyukur apabila doa mereka dimakbulkan.
“Ada kalangan rakan-rakan seperjuangan kita yang telah terkandas di tengah jalan. Menodai perjuangan yang telah digenggam erat sebagai jihad menentang kemungkaran.Ada juga kalangan kita yang hanya tersedar apabila sakit terhantuk hentakan realiti kemahuan rakyat. Yang pastinya, mereka tersedar.

“Zainol Fadzi Paharudin, ADUN Sungai Manik telah menyatakan sokongan kepada pembentukan Kerajaan Pakatan Harapan di Perak. Tanpa sokongan beliau, kerajaan hari ini masih menjadi impian bagi para penyokong,” katanya.

Katanya, Zainol telah memahami hakikat biarpun terlewat bagaimanapun Adun Sungai Manik itu dikatakan sama sekali tidak mendesak untuk mengalas jawatan Exco.
“Ada kalangan penyokong yang marahkan pelantikan beliau sebagai Penasihat Kepada Menteri Besar Perak. Mungkin ada yang seakan terlupa bahawa tindakan beliau yang telah membolehkan Kerajaan Pakatan Harapan tertubuh di negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Hasnul, barisan exco yang diketua Menteri Besar sentiasa menitik beratkan agenda rakyat tanpa diganggu gugat oleh pihak yang berkepentingan.
“Kami sentiasa peka dengan keresahan rakyat dan pastinya tidak mahu peristiwa rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat berulang semula.

“Tiba masanya rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan Perak untuk menjadi mata dan telinga bagi memperbetulkan segala kerosakan yang telah dilakukan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini,” katanya.