Pakatan Harapan Hargai Peranan Media Perak

Reading Time: < 1 minute

IPOH:Peranan media Perak dalam menyebar berita kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu sehingga berjaya membentuk kerajaan baharu Perak amat dihargai.
Menurut Pengerusi Parti Amanah Perak, YB Asmuni Awi hebahan dan penyebaran maklumat ini membantu rakyat beroleh informasi tepat berhubung kemenangan Pakatan Harapan.

“Saya menghargai peranan besar yang dimainkan media massa Perak dan berharap peranan ini akan berterusan sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan,’’ katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan.

Beliau berkata demikian semasa di majlis berbuka puasa dan penyerahan hamper Hari Raya kepada Media Negeri Perak di Greentown Nova, Ipoh pada Sabtu.
Antara wakil media yang hadir di majlis itu daripada Independent.my, Kosmo, Astro Awani, TV3,Utusan, Sinar Harian dan Berita Harian serta akhbar bahasa Cina dan Tamil..

YB Asmuni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi dalam ucapannya berkata, antara peranan media terhadap pengetahuan masyarakat ialah media sebagai sumber maklumat berkaitan kerajaan.

Beliau juga mempelawa media ke pejabatnya sekiranya mereka ingin mendapatkan komen dan ulasan berhubung isu-isu yang berkaitan porfolionya.
Katanya, majlis yang diadakan itu diharap dapat memantapkan kerjasama pihak media dengan beliau selaku Exco kerajaan negeri yang baharu dilantik.