Jawatan Ketua Kampung Akan Dilantik Tanpa Pemilihan

Reading Time: < 1 minute

Jawatan Ketua Kampung yang akan dikosongkan akan diisi oleh mereka yang dilantik oleh kerajaan Negeri, tidak melalui proses pemilihan.

Kenyataan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi di Chemor hari ini.

Bagaimanapun, beliau menambah, pemilihan secara demokratik hanya akan dijalankan selepas 2 atau 3 tahun berikutnya.

“Pada peringkat permulaan ini, adalah tidak sesuai melakukan proses pemilihan walaupun salah satu dari manifesto Pakatan Harapan sebelum pilihanraya yang lalu ialah melakukan proses pendemokrasian…” menurut Asmuni.

Jawatan Ketua Kampung sekarang akan diteruskan sehingga akhir bulan ini memandangkan rakyat masih memerlukan khidmat ketua kampung dalam memperolehi surat sokongan dan sebagainya.

Proses perlantikan ketua kampung yang baru sedang berjalan ketika ini dan akan dimuktamadkan secara berperingkat mengikut tahap yang telah diselesaikan.