OPINION: Perak Amalkan “Rule By Law”?

Reading Time: 2 minutes

Perak nampaknya tidak mengikuti saranan Tun Mahathir bahawa mereka yang melakukan kesalahan akan menerima hukuman jika didapati terbukti bersalah.

Sikap Menteri Besar Perak yang mahu “melupakan perkara yang lepas dan terus bergerak ke hadapan memajukan negeri” haruslah berpada-pada.

Negara kita ada undang-undang yang harus dipatuhi. Sesebuah institusi boleh hancur kerana terdapatnya segelintir manusia yang tidak mematuhi undang-undang dan menganggap undang-undang hanya dicipta untuk rakyat marhaen manakala golongan pemimpin atasan serta rakan² rapat mereka boleh terlepas begitu saja.

Golongan inilah yang bakal menghancurkan negeri Perak di masa akan datang. Kita faham bahawa Ahmad Faizal tidak mahu mengambil sikap bermusuhan dengan sesiapa, beliau lebih senang berbicara tentang bagaimana untuk membawa Perak bergerak ke hadapan dan bagaimana untuk ‘memajukan’ negeri. Tetapi sikap sebegini akhirnya boleh membawa kesan negatif terhadap pandangan rakyat jelata kepada kerajaan Pakatan Harapan yang baru ditubuh ini.

Tun M sebelum dan selepas pilihanraya berulangkali menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan hormati the ‘rule of law’ iaitu pemerintahan mengikut undang-undang.

“Bukan niat kita hendak membalas dendam terhadap mereka. Kami akan berpegang kepada “the rule of law”.

“Jika undang-undang kata orang yang mencuri duit perlu dihadapkan ke mahkamah dan mahkamah akan memutuskan sama ada betul atau tidak, dan mengenakan hukuman tertentu, itulah cara kami”, katanya pada Januari tahun ini.

Sebaik selesai diumum Pakatan Harapan memenangi pilihanraya, Tun sekali lagi mengulangi dalam kenyataan media pertamanya bahawa kerajaan yang baru tidak bermaksud membalas dendam, sebaliknya hanya mahu mengembalikan the ‘rule of law’.

Maksud perkataan “rule of law” ialah setiap orang tidak akan terlepas dari undang-undang, tidak kira dia dari parti pembangkang mahupun dari parti yang memerintah. Semuanya tertakluk kepada undang-undang. Hukuman akan diputuskan oleh mahkamah dan kerajaan tidak akan masuk campur dalam urusan perundangan. Ini berbeza dengan perkataan “rule by law” dimana ia lebih menjurus kepada pendakwaan terpilih, ada individu yang melakukan kesalahan didakwa dan dibicarakan, ada individu lain dilepaskan atau tidak didakwa walaupun terdapat bukti atau alasan yang kukuh untuk memulakan kes.

Adakah Perak sebuah negeri yang layak digelar sebuah negeri yang mengamalkan “rule by law” berlawanan dengan prinsip Tun M yang mahu mengamalkan rule of law? Lebih buruk lagi, sampai hari ini kita belum lagi mendengar sesiapa di negeri ini yang disiasat atau didakwa oleh pihak berkuasa seperti SPRM. Tidak perlu disebut di sini syarikat GLC mana yang terlibat tetapi belum ada soalsiasat, rampasan atau tangkapan di Perak. Adakah kerajaan terdahulu sangat bersih, tidak melakukan sebarang kesalahan langsung?

Ahmad Faizal harus melihat perkara ini dengan lebih teliti. Tidak semestinya melupakan perkara lama bermaksud segala kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana individu atau organisasi patut dibiarkan saja. Rakyat sudah tentu kecewa dengan sikap pemimpin sebegini.

Rakyat mengundi memilih untuk menukar kerajaan bukan mahu menukar kerajaan semata-mata. Lebih dari itu, rakyat mahukan kerajaan yang baru lebih telus dan adil. Kesalahan rasuah yang dilakukan oleh individu atau organisasi yang telah merosakkan sistem pentadbiran dan memberi imej buruk kepada badan-badan kerajaan harus didakwa dan dibicarakan. Jika didapati bersalah, mereka harus menerima hukuman yang setimpal supaya ia menjadi pengajaran kepada yang lain dan supaya ia tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

Ini adalah peringatan dan teguran ikhlas kepada pimpinan kerajaan negeri. Ahmad Faizal sendiri pernah berkata kepada saya dan rakan-² bahawa beliau amat menyukai tulisan yang mengkritik pentadbirannya berbanding tulisan yang penuh dengan pujian. “Mata pena itu lebih tajam dari pedang”, katanya kepada kami. Hari ini ‘mata pena’ itu boleh disamakan dengan ketikan jari menekan huruf-huruf di atas keyboard komputer.

oleh AA