Dipenjara 6 Bulan Curi Duit Tabung Masjid

Dipenjara 6 Bulan Curi Duit Tabung Masjid

IPOH | Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah mencuri duit tabung masjid berjumlah lebih RM90 Isnin lepas.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Nor Azizi Mohd Nasir, 24, mengaku bersalah ke atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nor Azizi didakwa mencuri dan memiliki harta curi iaitu duit tabung Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor di sini berupa wang kertas RM1 sebanyak 93 keping pada pukul 8.30 malam, 1 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan bagi kesalahan kali kedua serta seterusnya, tertuduh boleh dipenjara dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), E.P. Sittan.

Umzarul An-Nur memerintahkan hukuman penjara berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu Isnin lepas.

Perbuatan tertuduh mencuri wang masjid disedari dua jemaah sebelum mereka menangkap dan menyerahkannya kepada pihak polis yang kemudian menemukan sejumlah wang kertas RM1 di dalam poket baju Mohd Nor Azizi.

– BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Facebook Comments