Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali Dilantik Pengarah Pendidikan Perak

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kekosongan jawatan Pengarah Pendidikan Perak akhirnya selesai selepas Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali dipilih mengisi kekosongan jawatan itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengumumkan perkara itu berkata, Mohd Suhaimi telah dilantik pada 17 Jun lalu setelah jawatan tersebut kosong sejak tujuh bulan lepas.

“Ya, pengarah pendidikan negeri yang baru sudah dilantik dan akan melapor diri pada Isnin depan,’’ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Menurut  Ahmad Faizal, pengarah pendidikan yang baharu itu mempunyai pengalaman lebih 30 tahun terutama dalam bidang perancangan pembangunan pendidikan, polisi pendidikan, pembangunan pendidikan luar bandar, penaziran pendidikan dan latihan keguruan.

Katanya, sebelum bertugas di IPG Kampus Ilmu Khas, beliau telah bertugas di beberapa sekolah menengah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.

“Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai ketua unit, ketua penolong pengarah, ketua nazir negeri, ketua sektor, timbalan ketua nazir (memangku) dan akhirnya sebagai Pengarah Kampus Ilmu Khas sejak 2 September 2016,’’ katanya.