Tindakan Sita Gerai Peniaga Durian Setelah 2 Kali Amaran Dikeluarkan

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Pihak berkuasa Majlis Bandaraya Ipoh hari ini telah menyita 5 gerai peniaga durian kerana engkar arahan yang telah dikeluarkan supaya berpindah tapak gerai dari lokasi yang tidak dibenarkan.

Sebanyak 2 kali nasihat telah diberikan agar tidak berniaga disitu disamping dinasihatkan agar berniaga di tempat lain yang lebih sesuai serta memohon lesen buah-buahan bermusim di Majlis Bandaraya Ipoh.

Penguatkuasa MBI telah mengadakan lawatan pertama pada 18 Jun 2019 serta memberi amaran pertama manakala lawatan kedua pula pada 20 Jun 2019 dan memberi amaran kedua kepada peniaga buah durian di Jalan Gopeng, Simpang Pulai berhampiran Gerai Limau Tambun.

Pada 26 Jun, seramai 50 anggota penguatkuasa MBI telah menjalankan operasi menyita peniaga durian tanpa lesen yang masih berniaga disitu.

Menurut MBI menerusi kenyataan di laman sosialnya, tindakan penguatkuasaan ini diambil kerana terdapat banyak rungutan berkaitan kesesakan lalulintas disebabkan oleh kenderaan yang berhenti untuk membeli buah-buahan tersebut.

Perbuatan ini juga boleh mengundang bahaya kepada nyawa pengguna lalulintas yang lain yang mengguna jalan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan penguatkuasaan adalah tindakan terakhir diambil oleh MBI setelah kaedah nasihat tidak diendahkan.