Changkat Jong Perintis Projek Program Pemutihan Luar Jelapang Padi

Reading Time: 1 minute

IPOH | Kawasan padi di Changkat Jong dipilih sebagai perintis projek program pemutihan untuk kawasan luar jelapang padi bagi menangani isu ketirisan dan penyelewengan pemberian subsidi baja padi kerajaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari, program tersebut telah dirancang bagi mengatasi isu ketirisan dan penyelewengan dalam pemberian subsidi baja padi kerajaan yang turut menjadi isu utama negara ketika ini.

Katanya, isu yang sama hangat diperkatakan dalam media baru-baru ini mengenai data pesawah yang tidak lengkap, berlaku ketirisan dan penyelewengan subsidi baja padi hingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian sehingga jutaan ringgit.

“Jabatan Pertanian Negeri Perak telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan satu kaedah yang sistematik dan efisien untuk program pemutihan kawasan padi iaitu dengan menggunakan teknologi geospatial.

“Melalui semakan terperinci berdasarkan program pemutihan, punca terjadinya perkara sebegini disebabkan daripada terdapat nombor lot baru serta isu kesukaran carian nombor lot pesawah yang terkini selain isu-isu berkaitan profil pesawah itu sendiri,” katanya.

Abdul Yunus berkata demikian kepada pemberita da;am sidang akhbar berkaitan Program Pemutihan Kawasan Padi Luar Jelapang Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Sementara itu Ketua Pengarah Pertanian Perak, Nor Sam Alwi berkata, melalui program pemutihan ini satu prosedur operasi standard (SOP) telah dibangunkan malahan dapat digunakan ke arah program pemutihan bagi kawasan lain.

“Tujuan utamanya adalah kita dapat melibatkan data yang lebih berintegriti berkaitan dengan kawasan sawah padi di luar jelapang malah satu Malaysia dapat menggunakan SOP yang telah dibangunkan.’’ Katanya.

Beliau menjelaskan, kelebihan sistem ini adalah melihat data berkaitan dengan keluasan dan sempadan sebenar skim pengairan, dimana kebanyakkan skim pengairan di bawah JPS dan menggunakan peta yang lama.

“Tindakan yang diambil melalui program ini adalah dengan menggunakan data manual dan teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) iaitu melalui imej “satelit” dan pencerapan dalam memastikan lot-lot padi berkenaan memang diusahakan.’’ Kata Nor Sham.