Tiada Keperluan Tukar Kawasan Padi Kepada Perumahan – Abdul Yunus

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari menegaskan tiada keperluan untuk  kerajaan negeri menukar kawasan padi kepada kawasan perumahan.

Katanya, kerajaan negeri bukan sahaja akan terus menjaga kawasan tanaman padi malah menambah jumlah keluasan tanaman itu di daerah Kerian dan seluruh negeri Perak.

Menurut beliau, ini penting bagi menjamin bekalan beras yang berterusan dan rakyat tidak terlalu bergantung kepada beras import.

“Kerajaan negeri akan tetap menjaga keluasan tanaman padi di negeri ini supaya bekalan kepada rakyat akan berterusan dan rakyat pula tidak terlalu bergantung kepada beras import.’’ Katanya.

Abdul Yunus berkata, menukarkan kawasan tanaman padi kepada perumahan bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar berkaitan Program Pemutihan Kawasan Padi Luar Jelapang Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Abdul Yunus diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong kelmarin bahawa kerajaan negeri bersedia meluluskan penukaran status tanah pertanian dikhususkan tanaman padi di daerah Kerian kepada pembangunan perumahan terancang jika terdapat permohonan dikemukakan kepada Majlis Daerah Kerian (MDK).

Namun begitu menurut Paul Yong, keputusan membenarkan penukaran status tanah pertanian padi untuk pembangunan di daerah Kerian itu tidak akan dilaksanakan sewenang-wenangnya.

Mengulas lanjut, Abdul Yunus berkata,  kenyataan yang dikeluarkan oleh Paul Yong adalah berdasarkan jawatannya sebagai exco perumahan dimana perbincangan ada dibuat secara spontan dan beliau sendiri ada menyebut tentang perkara itu semasa program yang lepas.

“Sekiranya rakyat hanya membaca tajuk berita yang dilaporkan menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri Perak begitu mudah untuk menukar kawasan padi kepada kawasan perumahan tetapi jika dibaca keseluruhan kenyataan tersebut perkara ini adalah tidak mudah,” katanya.

Beliau seterusnya menegaskan tiada percanggahan pendapat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Paul Yong dan beliau.