MBI Sedia Tapak Gerai Durian & Kaunter Daftar Lesen di Kawasan Parkir Stadium

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Selepas kekecohan apabila gerai peniaga durian tepi jalan yang disita tempohari, pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mempelawa peniaga buah-buahan bermusim iaitu durian menjalankan perniagaan mereka di kawasan parkir Stadium Indera Mulia bermula hari ini.

MBI dalam satu kenyataan yang diedarkan hari ini berkata ia bagi memudahkan para penggemar buah durian membeli dan menikmati buah durian di lokasi yang lebih strategik dan selamat.

“Sehubungan dengan itu, MBI mempelawa peniaga durian untuk berniaga di tempat letak kereta Stadium Indera Mulia,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu juga, MBI turut membuka Kaunter Sementara di stadium bagi memudahkan para peniaga durian mendapatkan permit untuk berniaga di lokasi berkenaan.

Para peniaga yang berminat boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Penjaja di talian 05-2083297/98.

“MBI juga akan menyediakan tong sampah di kawasan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Pada Rabu, pasukan penguatkuasa MBI telah merampas hampir 500 biji durian dan menyita lima gerai peniaga tidak berlesen yang telah diberi amaran untuk berpindah ke lokasi lain tetapi tidak diendahkan.

Menurut MBI, tindakan penguatkuasaan adalah tindakan terakhir diambil oleh MBI setelah kaedah nasihat tidak diendahkan.