Enggan Jawab Soalan, Menteri Pertanian Hina Kaum Tani – Tajuddin

Reading Time: 2 minutes

KAMPUNG GAJAH | Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman menganggap keengganan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menjawab soalan tambahan pada sidang Dewan Rakyat semalam sebagai menghina hampir sejuta kaum tani di seluruh negara dan rakyat di Parlimen Pasir Salak.

Sehubungan itu, beliau juga akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat YB Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof berhubung tindakan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming yang mengantungnya daripada menghadiri sidang Dewan itu selama empat hari.

“Melalui surat itu, saya juga menuntut Nga Kor Ming memohon maaf kepada saya sebagai ahli Parlimen yang menyuarakan permasalahan rakyat khasnya kaum petani di negara ini dan saya serah kepada rakyat untuk menilainya,” katanya.

Tajuddin berkata demikian kepada pemberita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah semalam.

Pagi semalam, Tajuddin (BN-UMNO Pasir Salak) diarah keluar dan digantung selama empat hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas dengan sengaja menimbulkan kekecohan.

Kekecohan bermula apabila Tajuddin mempersoalkan ketiadaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub ketika ingin bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, pada sesi soal jawab.

Ini kerana, terdahulu Salahuddin menjawab soalan Nombor 2 yang dikemukakan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-UMNO Kota Tinggi) sebelum keluar Dewan. Tajuddin mengemukakan soalan Nombor 6.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Nga Kor Ming meminta Tajuddin supaya terus bertanyakan soalan dan memintanya supaya tidak membazirkan masa.

Tajuddin yang tidak berpuas hati dengan arahan itu, mengatakan beliau mewakili rakyat dan meminta Timbalan Speaker supaya menghormati rakyat sehingga menyebabkan Timbalan Speaker mengarahkan supaya sesi soal jawab diteruskan kepada soalan seterusnya.

Ini membuatkan Tajuddin mendakwa Nga Kor Ming sebagai memihak (partisan) dan meminta beliau berlaku adil sebagai Timbalan Speaker.

Ketidakpuasan hati Tajuddin memuncak apabila Nga Kor Ming menyifatkan tindakannya itu tidak senonoh dan tidak bertanggungjawab walaupun sudah diberikan masa secukupnya untuk bertanyakan soalan.

“Pasir Salak sengaja mengundang kekecohan, inilah sikap beliau yang tidak bertanggungjawab, yang menghina majlis dan inilah teladan buruk yang kita jangan pelajari.

“Sila duduk, saya bacakan perintah tetap. Peraturan Mesyuarat 44(2), Pengerusi hendaklah memerintah mana-mana ahli yang berkelakuan tidak senonoh atau melakukan perbuatan menghina majlis mesyuarat atau tidak mengendahkan kuasa Pengerusi, keluar dari majlis mesyuarat dari tempoh tidak melebihi 10 hari, ahli majlis itu perlulah serta-merta keluar daripada mesyuarat.

“Saya telah memberi peluang kepada Pasir Salak (Tajuddin) untuk bertanyakan soalan, namun terus melemparkan tuduhan kepada menteri dan timbalan menteri. Jadi Bentara sila jalankan tugas, saya arahkan Pasir Salak keluar. Dengan ini, Pasir Salak digantung dua hari,” katanya.

Keputusan itu menyebabkan Tajuddin tidak berpuas hati dan terus mempersoalkan tindakan Timbalan Speaker yang didakwanya menghalangnya bertanyakan soalan tambahan.

Ini menyebabkan Nga Kor Ming membuat keputusan lebih tegas.

“(Tajuddin) sudah diberi peringatan berkali-kali, tetapi tetap berdegil, saya sudah bagi dua hari (gantung hadir sidang) tetapi beliau engkar, jadi empat hari,” kata Kor Ming.

Beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cuba menenangkan keadaan dan mempersoalkan arahan Timbalan Speaker, namun Kor Ming tetap dengan pendiriannya dan mengarahkan supaya Tajuddin keluar.

Selepas itu, sesi soal jawab diteruskan dan Tajuddin hanya keluar Dewan selepas tamatnya sesi berkenaan.