Mendamba Perpaduan Melayu

Reading Time: 3 minutes

ULASAN | Mutakhir ini politik Malaysia gamat dengan komen-komen akan berlaku kerjasama UMNO dan PAS. Berasaskan keputusan Pilihan Raya Kecil Cameron Highland, Semenyih dan Rantau, kedua-dua parti Melayu ini terus menjadi sindiran pelbagai pihak, seolah-olah gabungan itu benar-benar akan menang dalam PRU akan datang.

Andai isu ini dilihat dalam skop kepartian maka akan dianggap rasis atau perkauman, Namun, dari perspektif negara bangsa ia adalah positif kerana menjurus kepada perpaduan orang Melayu. Namun, sejauh mana mampu mencapai matlamat bergantung kepada kesungguhan dan keikhlasan pihak yang terlibat tanpa maksud tersirat atau tersembunyi.

Berbicara dan menyarankan perpaduan atas nama bangsa memang senang, tetapi realitinya tidak semudah yang diucapkan itu. Secara umum, perlu diakui bahawa perpaduan orang Melayu tidak pernah wujud secara tulen. Andai disingkap sejarah pasti bertemu pelbagai peristiwa peperangan dan penaklukan sesama kerajaan Melayu. Bahkan kegemilangan Empayar Melayu Melaka juga dikaitkan dengan peperangan dan penaklukan sama ada di Tanah Melayu atau Sumatera.

Pembelot, tali barut dan petualang
Kemudian, kegemilangan itu akan hancur dan luput disebabkan ketiadaan perpaduan sama ada dalam kalangan pemimpin mahu pun rakyat. Akibat rapuhnya perpaduan ini membuka ruang siri ‘penaklukan’ Negeri-negeri Melayu oleh imperialis Portugis, Belanda, British dan Jepun. Satu demi satu Negeri-negeri Melayu berada di bawah cengkaman penjajah hinga menjangkau 460 tahun. Dalam hal ini, akan dinukilkan juga faktor kejatuhan disebabkan oleh pembelot atau tali barut dan petualang yang mengkhianati bangsanya sendiri.
Sekalipun penentangan Malayan Union 1946 berjaya menggerakan perpaduan secara besar-besaran orang Melayu hingga tertubuhnya Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), namun hanya bersifat sementara. Episod perpecahan kembali mewarnai kanvas perpaduan Melayu apabila wujudnya Parti Kemerdekaan Malaya, Parti Negara dan PAS yang memperjuangkan ‘ideologi’ masing-masing.

Perpaduan Melayu terus berkecamuk walaupun berada dalam suasana aman. Dekad berikutnya menyaksikan perpecahan Melayu berterusan melalui kewujudan parti-parti politik baharu seperti HAMIM, Berjasa, Semangat 46, Parti Keadilan Rakyat, Amanah dan Bersatu. Memang tidak salah kewujudan parti-parti politik itu lantaran memenuhi ciri demokrasi berparlimen, namun apa untungnya jika gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Yang pasti punca utamanya adalah akibat ketidakpuasan hati. Asal ada sahaja peluang akan ada sesi membuka pekung di dada dan segala pengalaman ‘manis’ bersama bertukar kepada negatif belaka.

Jauhi perseteruan
Inilah yang perlu difikirkan semula oleh kepimpinan Melayu agar perseteruan tidak berpanjangan. Sekalipun pahit, usaha merekontruksi politik Melayu perlu dilakukan segera agar perbezaan politik ini tidak menjadi persengketaan yang menghalang perpaduan bangsa dan menggugat keamanan negara.

Perpaduan dalam kalangan bangsa Melayu sangat penting kerana ia adalah nadi dan tunjang kepada negara. Jika perpaduan Melayu goyah dan tidak utuh agak mustahil Malaysia akan kekal berada dalam aman dan sejahtera. Akibatnya, bukan sahaja kuasa-kuasa asing berani campur tangan dalam politik Malaysia, bahkan hak-hak keistimewaan orang Melayu juga akan hilang dan lenyap begitu sahaja. Lebih membimbangkan kemungkinan besar negara akan terseret ke kancah pemberontakan dan rusuhan kaum sekaligus melenyapkan imej masyarakat majmuk yang terbina sekian lama itu.

Orang Melayu seharusnya kembali kepada Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, iaitu beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Takrif ini sudah memadai sebagai bingkai mendamba perpaduan Melayu. Kemudian, hal ini diperkemaskan lagi melalui Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan Perkara 152 yang menjulang Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Jika sebelum ini kita disajikan politik sebagai salah satu punca kepada perpecahan orang Melayu, mungkin hal ini boleh diubah pada dekad ini. Sudah sampai masanya orang Melayu melakukan anjakan budaya berpolitik, iaitu melihat parti-parti politik sebagai wadah perpaduan demi kebaikan bersama. Gaya politik pecah dan perintah serta amalan Machiavelli perlu diganti dengan politik kerjasama yang berteraskan kasih sayang atau idealisme luhur yang berpaksikan ilmu.

Perlu diakui, untuk mencari titik persamaan dalam pelbagai aspek dalam kalangan orang Melayu adalah sangat mustahil. Namun, hal ini bukanlah penghalang untuk membangkitkan kesedaran perpaduan kerana sifat mudah lentur orang Melayu dan kekal berpegang kepada syahadah dan kiblat yang sama. Ertinya, orang Melayu perlu dingatkan akan hal agamanya walaupun berbeza ideologi politik.

Untuk menafikan kampen sentimen sayangkan agama dan kaum atau bahasa setiap kali pilihan raya juga mustahil kerana ia adalah suatu sifat semula jadi. Tambahan pula, memperjuang atau mempertahankan agama dan bangsa bukanlah salah malah menjadi kewajipan jika ia terancam. Namun, jika ia keterlaluan boleh mengundang ketegangan dan ketidakselesaan kaum-kaum lain yang tidak berkesudahan.

Jika perpaduan politik disandarkan kepada teori fungsional, masyarakat dianggap sebagai organisma biologis yang terdiri daripada anggota-anggota badan yang setiap satunya berfungsi dalam memberikan keseimbangan terhadap wujudnya tubuh badan tersebut sebagai satu keseluruhan. Ertinya, elemen pecah dan perintah mesti dinyahkan demi mencapai keutuhan perpaduan Melayu secara positif.

Lunas hak bukan Melayu
Namun perpaduan bukanlah lesen untuk mendiskriminasi kepentingan sah kaum-kaum lain. Sekalipun Malaysia bukan tanah asal tetapi mereka telah diterima sebagai warganegara yang sah. Sebagai warganegara mereka berhak menikmati keistimewaan yang diperuntukan. Hubungan dengan kelompok bukan Melayu yang melibatkan politik, ekonomi dan sosial perlu dilaksanakan secara berhikmah agar keamanan dan keharmonian terus terpelihara.

Justeru, dalam usaha mendapatkan sokongan politik janganlah perpaduan bangsa digadai. Jauhilah sikap suka menuding jari dan menyalahkan sebelah pihak sahaja. Paling penting, pihak kerajaan perlu berani melakar masa depan ‘bangsa Malaysia’ agar setanding dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Ibrahim Ahmad
UniKL RCMP Ipoh, Perak


Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya mewakili pendapat rasmi Independent.