Perak Negeri Contoh Guna Pendekatan Ternakan Khinzir Secara Moden

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Perak menjadi negeri contoh apabila melaksanakan penguatkuasaan ladang ternakan khinzir secara modern dan mesra alam (modern pig farming)  dalam usaha mengekang masalah pencemaran udara, sungai, lalat dan bau busuk.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa  Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri Perak, A. Sivanesan,  penguatkuasaan ‘Modern Pig Farming’ (MPF) mampu menjaga kesejahteraan alam dan awam melalui pengwujudan ladang ternak  khinzir yang mesra alam.

Beliau mengakui bukan satu perkara mudah bagi Jabatan Veterinar memantau kegiatan 109 ladang khinzir sedia ada di negeri ini.

“Kerajaan percaya melalui Enakmen Perladangan Khinzir dengan pendekatan MPF ia akan dapat memberi garis panduan yang jelas kepada penternak bagi memastikan aktiviti di ladang dijalankan dengan lebih teratur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Perlaksanaan MPF dianggap mampu menjadikan sistem pengurusan akan lebih sistematik dan dapat mengawal pencemaran udara, sungai, masalah bau busuk dan lalat selain mengawal wabak penyakit daripada berlaku,” katanya.

Sivanesan berkata demikian kepada pemberita pada program “MPF Roadshow 2019” peringkat negeri Perak di MH Hotel, Ipoh pada Selasa.

Sivanesan seterusnya berkata, hasil perbincangan dengan penternak khinzir, mereka secara keseluruhannya bersetuju menggunakan pendekatan MPF.

“Selepas ini, ladang yang menerima dan mematuhi sepenuhnya pendekatan MPF serta segala peraturan wajib yang ditetapkan oleh jabatan dan agensi terlibat sahaja yang boleh beroperasi, bagi yang gagal memenuhi segala syarat mereka terpaksa menutup ladang mereka.

“Kita berharap agar segala masalah berkaitan khinzir di Perak dapat diselesaikan menjelang 2022,’’ katanya.