Persatuan Nelayan Minta Kerajaan Campur Tangan Isu Korek Pasir

Reading Time: < 1 minute

TAIPING | Persatuan Nelayan Perak menggesa kerajaan Persekutuan campur tangan berhubung cadangan mengorek pasir di perairan utara negeri ini bagi menampung permintaan membina tiga pulau buatan manusia di Pulau Pinang.          

Menurut Pengerusi persatuan itu, Mansor Yusof, pengorekan pasir bagi menambak tiga pulau seluas 1,821 hektar akan memberi kesan kepada hampir 9,000 nelayan di negeri Perak.           

 “Nelayan bimbang kerana impak perlombongan pasir akan menyebabkan berlakunya hakisan pantai yang boleh menjejaskan sumber perikanan kepada nelayan,     “Jika lombong dikorek sedalam 20 hingga 30 kaki akan berlaku pergerakan kerak bumi yang boleh menyebabkan tsunami,” katanya dalam sidang media selepas majlis taklimat mengenai perlombongan pasir di utara Perak kepada beberapa NGO di sini hari ini.

Koordinator Penang Forum, Khoo Salma berkata cadangan tersebut jika direalisasikan akan menggunakan 189 juta meter padu pasir yang dikorek di perairan Tanjung Piandang hingga ke Pulau Pangkor.            

Beliau berkata tindakan itu yang dijangka dimulakan setelah mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) akan memusnahkan dasar laut dan memberi kesan kepada tangkapan nelayan.          

Beberapa persatuan nelayan di Perak dan Pulau Pinang bersama NGO akan mengadakan bantahan secara aman di Parlimen pada 11 Julai ini.