Fahami jangka hayat dan fasa kerajaan baharu

Reading Time: 3 minutes

ULASAN | Tatkala setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Malaysia, pelbagai penilaian diberikan. Berasaskan rubrik keseluruhannya memperoleh skor 5/10. Maka, belegar-legarlah pelbagai komen di media-media sosial. Ada yang berpuas hati atas alasan kerajaan PH baharu setahun jagung, dan tidak kurang juga yang melabelnya sebagai kerajaan yang gagal atau bakal sepenggal sahaja. Apa pun pandangan, itu semua rencah dan asam garam dalam kerangka berpolitik.

Penilaian sama ada berjaya atau gagal perlu juga dilihat dari perspektif fasa berkerajaan. Saya agak cenderung mengaitkan fasa berkerajaan ini dengan teori pembentukan negara, misalnya Teori Kitaran (Cyclical Theory) yang dipelopori oleh Ibn Khaldun dan Malik Bennabi, serta Teori Linear yang kuat diperjuangkan oleh Arnold Toynbee dan Carol Quigley. Semua ini boleh diteroka melalui karya Mukaddimah, A Study of History dan Decline and Fall of the Roman Empire.

Berasaskan kedua-dua teori ini, dalam tempoh penggal ini saya simpulkan kerajaan perlu melalui tiga fasa, iaitu pemulihan, perkembangan, dan kompromi. Bagi fasa pemulihan ianya berkaitan dengan proses awal pemindahan kuasa antara parti, iaitu dari Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH). Dalam fasa ini, segala ‘item’ yang diserahkan itu menjadi tanggungjawab kerajaan baharu iaitu PH – sama ada aset negara masih banyak atau ekonomi berada dalam keadaan tenat segala-galanya menjadi tanggungjawab kerajaan baharu.

Nilai tatacara kerajaan baharu
Peralihan kuasa ini mengakibatkan terbongkarnya segala kelemahan kerajaan lepas. Antaranya adalah skandal IMDB, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan perundangan dan kerugian akibat rasuah. Justeru, fasa pemulihan ini adalah cabaran untuk menyelesaikan masalah-masalah ini apatah lagi ia menjadi sebahagian daripada manifesto PH. Mahu tidak mahu, segala dasar dan amalan sedia ada perlu dinilai semula agar selari dengan kehendak kerajaan baharu. Jika terdapat kelemahan dasar atau tatacara pentadbiran ia perlu dibaiki malah wajar diganti dengan yang lebih releven.

Dari aspek tempoh yang sesuai fasa pertama memakan masa sehingga 1½ setahun selepas PRU. Agak mencabar jika ia melibatkan banyak kes berprofil tinggi yang memerlukan penelitian tegas pihak berkuasa. Jika tindakan undang-undang diambil kepada pelaku, maka kerajaan akan dituduh sebagai ‘membalas dendam’, ‘membunuh karier tokoh’, ‘asyik cari salah’, dan ‘bakal kerajaan sepenggal. Malahan, tidak mustahil demonstrasi menpertahankan individu juga akan berterusan walaupun hukuman belum diputuskan. Ada pun jika dasar-dasar lama dikekalkan atau dijenamakan semula juga dikritik sebagai muflis idea. Dalam tempoh ini memerlukan pihak kerajaan bersikap tebal telinga bagi menghadapi situasi kecaman yang komplikated dan pelbagai karenah di luar jangkaan dari semasa ke semasa.

Fasa kedua, iaitu perkembangan yang melibatkan tempoh dari 1½ hingga 4 tahun. Dalam tempoh tidak lebih 2 ½ tahun ini boleh dianggap kerajaan berada dalam situasi agak stabil. Namun, kestabilan ini bukanlah berlaku secara automatik kerana ia bergantung kepada pencapaian fasa pertama. Andai situasi masih seperti fasa pertama, maka kerajaan perlu giat menyelesaikannya secara secepat mungkin demi mengekalkan kepercayaan rakyat khususnya pengundi.

Tunai manifesto, utamakan rakyat
Seperti yang diungkapkan oleh Plato dan Aristoteles “en dam onia atau the good life” (kehidupan yang baik), dalam tempoh ini kerajaan perlu memperlihatkan kesungguhan menunaikan segala manifesto yang dijanjikan. Sekalipun agak sukar untuk merealisasikan manisfesto itu akibat kekangan kewangan, paling kurang 80% yang dijanjikan perlu ditunaikan. Dalam hal ini, aspek meringankan kos kehidupan rakyat perlu diberi keutamaan, misalnya menurunkan atau mengawal kenaikan harga barangan harian, menurunkan harga minyak kenderaan, mengurangkan kadar tol, mewujudkan lebih banyak kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar, menstabilkan harga getah, kelapa sawit, padi dan hasil tangkapan laut serta peluang pendidikan yang saksama. Sementara golongan belia yang berada dalam kategori keluarga B40, kerajaan perlu berikhtiar mewujudkan sebanyak mungkin peluang pekerjaan secara tetap demi masa depan yang lebih terjamin. Selain itu, fasa ini juga menuntut keselamatan rakyat terus dijamin daripada ancaman jenayah, dadah, ektremis agama dan provokasi kaum.
Andai fasa kedua dapat dipenuhi dan berada dalam skor A, maka fasa ketiga akan dilalui dengan lebih mudah. Fasa ketiga memperlihatkan kompromi rakyat dan pengundi dengan kerajaan pemerintah. Hanya berbaki satu tahun sahaja untuk Pilihan Raya Umum (PRU), rakyat akan menilai segala pencapaian kerajaan sama ada memenuhi kesejahteraan mereka atau taraf kehidupan semakin merudum. Jika merudum, peluang parti pembangkang untuk mengambil alih tampuk pemerintahan agak cerah, sebaliknya jika semuanya berada dalam skor A, pembangkang terpaksa bekerja keras menggali kelemahan dan kepincangan kerajaan sedia ada.

Jangka hayat singkat
Tahap ini akan menjadi semakin kritikal ketika Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan kerana posisi kerajaan sementara (caretaker government) tidak ‘sekuat’ ketika menjadi kerajaan ‘sebenar’. Tambahan pula, kerajaan sedia ada terikat dengan manifesto yang menjadi dasar sokongan rakyat kepada mereka. Satu peringatan yang perlu diberi perhatian ialah fasa ini tidak wajar dicemari ‘dedak’ atau politik wang oleh mana-mana pihak yang bertanding.

Justeru, bukan mudah untuk menjadi sebuah kerajaan yang stabil. Setiap fasa ini mempunyai liku-liku yang perlu ditangani secara bijak demi memenuhi mandat rakyat. Jangka hayat lima tahun bukan sahaja singkat malah tiada jaminan sesebuah parti politik untuk terus berkuasa kerana sistem demokrasi berparlimen Malaysia menetapkan rakyat sebagai ‘pemilih mutlak’, sekaligus menepati ucapan Abraham Lincoln “government of the people, by the people, for the people.”

Ibrahim Ahmad
Pensyarah UniKL RCMP Ipoh, Perak


Nukilan di atas adalah pendapat peribadi penulis, tidak semestinya mewakili pendapat rasmi Independent.