MB Serah Kepada PDRM Siasat Dakwaan Ahli Exco Lakukan Serangan Seksual

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan kepada pihak PDRM untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang ahli exco kerajaan  melakukan serangan seksual terhadap pembantu rumahnya seorang warga Indonesia.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai serius, Ahmad Faizal meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa PDRM untuk menjalankan siasatan penuh secara telus dan profesional.

“Kita memandang serius dakwaan berkenaan dan meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh secara telus dan profesional.

“Sebarang keputusan berhubung kedudukan anggota pentadbiran berkaitan akan diputuskan selepas pihak polis menyelesaikan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat oleh pembantu rumah tersebut yang mendakwa beliau telah menjadi mangsa serangan seksual oleh majikannya yang juga merupakan anggota pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, ACP Choo Lily mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.