KUALA LUMPUR (BERNAMA) | Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Mior Faridalathrash Wahid antara sembilan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa, pada 21 Dis depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan memaklumkan Mior Faridalathrash dilantik sebagai Ketua Polis Perak yang baharu dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
Pertukaran lain antaranya melibatkan Ketua Cawangan Khas Perak Datuk Mazlan Santarai dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).
Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Komuniti, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Dr Mustafa Khan Abdul Samat dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) JPJKK Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
Selain itu, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat/Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk S. Sasikala Devi dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman.
Pertukaran lain turut menyaksikan Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas Bukit Aman Senior Asisten Komisioner (SAC) Shazeli Kahar dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Perak.
Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan, Maktab PDRM SAC R. Munusamy dilantik sebagai SAC Bahagian Pentadbiran Maktab PDRM.
Asmawati berkata Pegawai Turus E1B5, Cawangan Khas Bukit Aman ACP Mohamad Mashdik Yahya dilantik sebagai Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Pertukaran lain turut melibatkan Asisten Komisioner (ACP) Pentadbiran Jabatan Pengurusan Selangor, ACP Mohammad Abd Hamid dilantik sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan, Maktab PDRM dengan memangku pangkat SAC.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah ACP Mohd Zaki Ashar dilantik sebagai Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon 1, JSJN Bukit Aman.