JOHOR BAHRU, 29 Dis — Petinju profesional negara Muhammad Farkhan Haron melakar sejarah, apabila berjaya menjulang tali pinggang Juara Antara Benua Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF), dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2019, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, malam ini.
Muhammad Farkhan menewaskan petinju Tanzania, Pascal Abel Ndomba menerusi pukulan ‘teknikal knock out’ (TKO) pada pusingan ketujuh, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalahnya selepas 11 perlawanan.
Pukulan padu Muhammad Farkhan itu turut menyebabkan Ndomba rebah, sekali gus menarik diri daripada meneruskan perlawanan.
Pertarungan yang sengit itu menyaksikan petinju berasal dari Johor itu, terus mempertahankan gelarannya bagi Juara Asia Kelas Cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) dan Kelas Light Heavyweight Majlis Tinju Dunia (WBC).
Muhammad Farkhan ketika ditemui selepas pertarungan itu berkata, beliau tidak menyangka pertarungannya itu akan berakhir awal, memandangkan Ndomba agak agresif dan memberikan saingan yang sengit.
“Pada pusingan pertama dan kedua, Ndomba agresif… kemudian pusingan keempat dan kelima saya cuba untuk beri tentangan.
“Tetapi pada pusingan ketujuh saya tidak pasti tumbukan mana yang mengena, kerana sebagai petinju kita akan tumbuk apa yang boleh, terlalu pantas… Alhamdulillah saya masih ‘undefeated’, ‘untouchable’,” katanya.
Beliau dalam masa sama menjelaskan, walaupun Ndomba tiba lewat bagi sesi timbangan semalam, ia bukanlah alasan pemain itu tidak dapat memberikan persaingan yang terbaik.
“Kita ada di sini, kami berdua mempunyai persediaan yang baik dan latihan …jadi pada saya, menang adalah menang dan kalah adalah tetap kalah,” katanya.
— BERNAMA