Anggota Polis Dakwa Dipukul Pegawai SPRM

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Tiga orang anggota polis mendakwa mereka telah dipukul oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika berada di pejabat SPRM Shah Alam baru-baru ini untuk merakam keterangan.

Anggota polis berkenaan yang berusia 24, 25 dan 26 dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Sungai Buloh berada di pejabat berkenaan bagi membantu siasatan kes.

Bagaimanapun mereka mendakwa telah ditumbuk, ditampar dan ditendang oleh pegawai SPRM ketika kenyataan mereka dirakamkan dalam sebuah bilik pada 24 dan 26 Disember lalu.

Ketiga-tiga mereka telah membuat satu laporan polis terhadap pegawai SPRM berkenaan pada 27 Disember.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin dilaporkan agensi media tempatan mengesahkan ada menerima laporan tersebut.

Sementara itu, seorang anggota polis berusia 26 tahun ditemukan maut dengan kesan tembakan ketika sedang bertugas di sekitar Dengkil, Sepang dekat sini, dalam kejadian kira-kira 3.55 pagi Ahad lalu.

Menurut Datuk Noor Azam ketika dihubungi Bernama berkata ketika itu anggota polis berkenaan bersama-sama anggota pasukan yang lain sedang menjalankan sekatan jalan raya di kawasan itu.

Beliau berkata ketika anggota lain sedang sibuk menjalankan tugas, tiba-tiba mereka terdengar bunyi letupan dan melihat anggota itu telah rebah di atas jalan raya.

“Pihak polis masih menyiasat punca kejadian berkenaan,” katanya,