Himpunan Dong Zong, Kenapa DAP Cabar Polis?

Reading Time: < 1 minute

PAS hairan dengan sikap beberapa pimpinan DAP yang mencabar keputusan perintah larangan terhadap Kongres Pertubuhan China yang sepatutnya diadakan semalam.

Penasihat DAP, YB Lim Kit Siang dilaporkan telah memprotes arahan pihak polis malah turut mengecam pembatalan kongres tersebut.

Respon pemimpin DAP seperti mencabar Perlembagaan Negara tanpa mengendahkan agenda yang lebih penting iaitu menjaga keharmonian negara.

Bukan itu sahaja, kes terdahulu iaitu rusuhan di Kuil Sri Mariamman yang mengakibatkan kematian pegawai bomba, Allahyarham Muhammad Adib turut menunjukkan kedegilan pemimpin Pakatan Harapan terhadap keputusan pihak berkuasa.

Jangan lupa bahawa, P Waytha Moorthy pernah menyalahkan polis daerah Subang Jaya kerana mengeluarkan kenyataan yang mendakwa rusuhan berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan India. Lebih teruk lagi apabila Moorthy menuduh kenyataan salah daripada pihak polis telah mengakibatkan kaum India bertindak agresif sehingga berlaku rusuhan.

Selain itu, pemimpin DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy pernah menyatakan rasa terkilan kepada pihak polis dalam insiden berbalas tembakan dengan tiga orang perompak berbangsa India di Batu Caves. P Ramasamy seolah-olah menyalahkan pihak polis kerana melepaskan tembakan, sedangkan pegawai yang bertugas hanya menjalankan tugas.

Tindakan-tindakan tersebut jelas menunjukkan DAP sudah naik tocang sehinggakan tugas-tugas hakiki pihak berkuasa juga dipersoalkan.

Adakah tindakan membantah arahan pihak berkuasa menjadi budaya dalam kerajaan Malaysia Baharu hari ini?

“Islam Memimpin Perpaduan”
“Muafakat Nasional Membina Malaysia Sejahtera”

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)