Fokus Pembentukan Kabinet Jangan Asyik Cungkil Salah BN

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Wanita Gerakan mahu Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi fokus sepenuhnya kepada pembentukan Kabinet dan bukan asyik mencungkil kelemahan kerajaan terdahulu.

Ketua Wanitanya, Datuk Tan Lian Hoe menegaskan, Wanita Gerakan tidak menghalang tindakan kerajaan membongkar dan mengcungkil salah guna kuasa dan penyelewengan itu tetapi ia harus selari dengan penubuhan kerajaan sekarang.

“Apa yang menghairankan kita , sudah hampir dua bulan Pakatan Harapan menang pilihanraya, namun masih juga tidak terbentuk sepenuhnya barisan Kabinet mereka sehingga ke hari ini.

“Apa yang membimbangkan kita sekiranya tindakan mencungkil dan membongkar berterusan ia kemungkinan boleh menghilangkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri dan Hari Ibu Bapa Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh pada Khamis.

Lian Hoe yang juga Pengerusi PAWE UTC Perak turut menzahirkan kehairanan beliau berhubung kelewatan penubuhan Kabinet penuh PH.

“Rakyat mengatakan mungkin ada masalah dalaman tetapi mereka (PH) menafikannya.

“Persoalannya sekarang, jika tiada masalah kenapa mengambil masa yang lama nntuk menubuhkan Kabinet penuh?’’ katanya.

Menurut beliau, paling penting sekarang kerajaan PH perlu segera meneruskan agenda pentadbiran negara dan bukannya mencungkil-cungkil mencari kesalahan kerajaan terdahulu.