Bantu Pusat Aktiviti Warga Emas Terus `Bernyawa’

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kerajaan Perak diminta menyumbang bantuan kewangan kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi meneruskan operasi dan aktiviti membela nasib warga emas di pusat berkenaan.

Pengerusi PAWE UTC Perak, Datuk Tan Lian Hoe berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, YB Ahmad Faizal Azumu dalam masa terdekat bagi membincang hala tuju dan masa depan PAWE.

Menurut beliau, PAWE amat memerlukan bantuan kewangan bagi menjalankan program dan aktiviti untuk warga emas bagi mengisi masa lapang mereka.

“Setakat ini PAWE hanya menerima bantuan elaun bulanan RM600 untuk penyelia dan RM300 pembantu penyelia daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kita terpaksa mencari sumber lain dari luar bagi menampung tabung PAWE.

“Bayangkan dengan hanya elaun bulanan sebanyak itu yang kita terima ….Selain itu kita juga hanya mampu membelanjakan RM1.50 sahaja sehari bagi setiap warga emas untuk makanan ringan,’’ katanya.

Lian Hoe berkata demikian kepada pemberita pada Sambutan Aidilfitri dan Hari Ibu Bapa PAWE UTC Perak di Hotel Kinta Riverfront, Ipoh pada Khamis.

Menurut beliau, setakat ini hampir 2,000 warga emas telah mendaftar dengan PAWE UTC Perak.

“Kita memang berhasrat untuk membuka cawangan PAWE di setiap Parlimen memandangkan penyertaan warga emas semakin meningkat,’’ katanya.