1MDB: Cakap Najib Ditolak Mentah-Mentah Mahathir, Kit Siang

Reading Time: 2 minutes

(Malaysiakini) – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang sama-sama enggan mempercayai kenyataan dibuat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau tidak tahu-menahu bagaimana wang 1MDB boleh berada dalam akaun peribadinya.

Menyifatkan keadaan itu sebagai mustahil, Dr Mahathir berkata, tandatangan Najib sentiasa diperlukan pada semua dokumen untuk sebarang urusan melibatkan 1MDB.

“Siapa yang mahu percaya dia (Najib) tidak tahu apa-apa apabila dia menurunkan tandatangan (atas namanya)?

“Semua urusan keluar masuk wang untuk pinjaman RM42 bilion, semuanya (menggunakan) tandatangannya.

“Jika dia memang tidak tahu-menahu, maknanya dia tidak faham apa makna tandatangan,” kata Dr Mahathir.

Perdana menteri memberitahu Malay Mail, sangat tidak masuk akal untuk seseorang itu menolak untuk dimaklumkan mengenai sesuatu transaksi apabila dia sendiri yang mengarahkan dana bernilai RM2 bilion dimasukkan ke akaun persendiriannya.

“Ini semua tidak mungkin. Kerana (jika sebagai pengerusi 1MDB) saya perlu tandatangan untuk menggunakan wang itu. Untuk mengguna wang berkenaan, saya perlu keluarkan cek.

“Najib sentiasa menyangka akyat semuanya bodoh,” katanya.

Dokumen buktikan sebaliknya

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib yang disiarkan Reuterssemalam. Melalui temu bual bersama agensi berita asing berkenaan, Najib mendakwa tidak tahu wang 1MDB – termasuk RM2.6 bilion – disalurkan ke akaun peribadinya.

Bekas perdana menteri itu – yang menafikan sebarang salah laku – juga mendakwa wang berkenaan adalah derma daripada keluarga kerabat diraja Arab Saudi, tetapi Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat percaya bahawa wang tersebut sebenarnya dari kantung 1MDB.

Najib yang melepaskan jawatan presiden BN namun mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian Pekan juga menyalahkan para penasihat serta pegawai kanan 1MDB kerana tidak mendedahkan hal penyaluran dana terbabit kepadanya.

Kata Najib dia tidak sedar wang yang ada dalam akaun persendirian itu diambil dari 1MDB. Dia juga mendakwa tidak tahu jika dana tersebut dibelanjakan untuk membeli pelbagai aset termasuk kapal pesiaran, lukisan dan barang kemas.

Namu Dr Mahathir mendakwa dokumen yang ada pada pihak berkuasa menunjukkan perkara sebenar adalah sebaliknya.

“Kami ada semuanya. Kami tahu berapa banyak wang yang masuk ke akaun dia,” katanya.

Sementara itu Lim yang juga ahli politik veteran DAP berpendapat kenyataan kepada agensi berita asing itu tidak membersihkan nama Najib, malah akan memerangkapnya.

Kata Lim jika Najib mengaku tiada maklumat mengenai hal-hal yang dikaitkan kepadanya, ia menjadikan anggota parlimen Pekan itu pemimpi kerajaan paling lemah dalam dunia.

“Saya tidak fikir Najib begitu bodoh, tak cekap atau pandir. Maknanya dia sekadar menipu semasa ditemu bual Reuters,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim yag juga anggota parlimen Iskandar Puteri menambah, penasihat Najib, pihak pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB tidak merahsiakan penggelapan dana itu daripadanya kerana ia telah didedahkan melalui saman DOJ sebelum ini.

“Najib bukannya dimangsakan oleh para penasihat, pengurusan dan lembaga pengarah 1MDB sebaliknya Najib akan mengorbankan sesiapa saja yang cuba menghalang keinginannya,” kata Lim.

Kata Li, Najib – sama ada secara sedar atau tidak – bertindak lebih jauh semasa ditemu bual, apabila daripada sekadar menafikan skandal itu dia kemudian menyalahkan orang bawahannya.

“Atas alasan itu jugalah Najib tidak berani meneruskan ancamannya untuk menyaman Wall Street Journal pada Julai 2015 kerana menyiarkan laporan berhubung dana RM2.6 bilion itu.

“Adakah Najib sedang membuka laluan baru dengan meletakkan dirinya pada kedudukan strategik – dengan mengakui skandal 1MDB memang wujud tetapi dia tidak bersalah atau tidak boleh dipertanggungjawabkan?” katanya.

Sumber Malaysiakini