Gelar Tun M `Tua Puaka, Mamak Bendahara’, Armada Perak Buat Laporan Polis

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri Perak mengecam Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam kerana menggelar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad `Tua Puaka dan `Mamak Bendahara’.

Kecaman itu dibuat Ketua Armada Bersatu Bahagian Gopeng, Megat Muhammad Asri, Ketua Armada Bersatu Ipoh Timur dan Timbalan Ketua Armada Bersatu Tambun. Susulan itu mereka telah membuat satu laporan polis terhadap Datuk Lokman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Isnin jam 2 petang.

Megat Muhammad Asri berkata, ucapan Lokman Adam di Perhimpunan Melayu Bangkit di Pekan Kampung Gajah, Pasir Salak pada malam Sabtu lalu dibimbangi boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan mencetuskan ketegangan di antara kaum di negara ini.

Beliau mendakwa Lokman dalam ucapannya telah menggelar Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dengan gelaran yang tidak sewajarnya iaitu ‘Tua Puaka dan Mamak Bendahara’.

“Armada Bersatu memohon supaya pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Menurut Megat Muhammad, Lokman dalam ucapannya juga mendakwa Peguam Negara, Tommy Thomas akan dan boleh mendakwa Yang DiPertuan Agong, Sultan serta Raja-Raja Melayu pada bila-bila masa.

“Beliau juga menyatakan perlantikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum adalah salah kerana kononnya Richard adalah seorang yang anti Islam berdasarkan kes-kes yang pernah dihakimi oleh Tan Sri Richard,’’ katanya.

Sementara itu Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kerana membuat ucapan di Perhimpunan Melayu Bangkit di Kampung Gajah yang boleh menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.

Laporan polis itu dibuat Ketua AMK Perak, Mohd Azlan Helmi di IPD Ipoh pada Isnin.. Sehubungan itu Mohd Azlan berkata, AMK Perak mendesak PDRM dan agensi yang berwajib menggunakan peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Tajuddin kerana menghasut dan memudaratkan keselamatan awam.