Jangan Jadi Pengkhianat Bangsa, Agama – Tajuddin

Reading Time: 2 minutes

Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman dalam himpunan malam tadi memberi amaran kepada golongan Melayu liberal supaya tidak menjadi pengkhianat kepada bangsa dan agama sendiri. 

Himpunan yang penuh bersemangat keMelayuan ini diisi dengan ucapan retorik pemimpin UMNO dengan laungan takbir dan kata-kata ‘Hidup Melayu’ disambut oleh para hadirin. Datuk Tajuddin dalam ucapannya menyatakan himpunan pada malam ini bertujuan untuk membangkitkan semangat orang-orang Melayu yang sudah mula merasa kedudukan mereka sedang diganggu-gugat oleh bangsa lain. Beliau menyalahkan parti DAP kerana  cuba mencabar kedudukan dan hak istimewa kaum Bumiputera.

Menurut beliau lagi, DAP telah merobek kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan menghina agama Islam. Banyak kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin kerajaan terutama DAP merupakan penghinaan terhadap agama Islam.

“Hari ini kita berhimpun kerana orang Melayu sudah dicabar.

“Bukan saja mereka mencabar kedudukan kita sebagai Bumiputera, mereka juga cuba merobek-robek kepentingan, hak istimewa orang Melayu, malah mereka juga menghina agama Islam. Banyak statement (kenyataan) yang dibuat yang merupakan penghinaan kepada agama kita.

“Mereka juga cuba mengganggu gugat institusi dan agensi kaum Bumiputera seperti MARA, Jakim dan juga universiti UiTM untuk anak-anak Melayu.

“Mereka menghina Islam dengan berkata kita adalah orang yang bodoh, pergi ke Mekah melakukan tawaf keliling Kaabah dikatakan sebagai menyembah seketul batu,” kata Tajuddin.

Beliau selanjutnya memberi amaran kepada orang Melayu ‘liberal’ supaya jangan jadi pengkhianat kepada agama dan bangsa Melayu.

“Kalau kamu tidak mampu menjaga bangsa dan agama Islam, bagi kami yang berhimpun di sini, orang Melayu untuk mempertahankan agama dan bangsa Melayu,” ucap beliau.

Tambahnya, orang Melayu masih tetap mahu kepada sistem Raja Berperlembagaan sebagai sistem pemerintahan di dalam negara. Raja-raja Melayu merupakan tonggak dan payung kepada bangsa Melayu dan penaung kepada agama Islam, mereka mahu menghasut rakyat supaya benci kepada Raja-Raja dan menentang sistem Raja Berperlembagaan. Beliau menuduh DAP adalah musuh Melayu dan musuh Islam.

“DAP berpura-pura menerima perlembagaan, menerima Islam sebagai agama Persekutuan, menerima hak-hak istimewa orang Melayu, tetapi kita tahu mereka adalah penipu.

“Mereka nak mulakan sistem tanpa Raja seperti di Singapura,” dakwa Tajuddin.

Penganjur himpunan Melayu Bangkit pada malam ini mendakwa telah berjaya mengumpulkan seramai lebih 10 ribu orang dari beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Himpunan yang dicetuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman diadakan di Pasir Salak dalam kawasan Parlimen beliau. Beberapa pemimpin kanan UMNO kelihatan di atas pentas. Antara yang turut membuat ucapan menyemarakkan semangat bangsa Melayu ialah Datuk Seri Tajuddin sendiri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Saarani Mohamad, Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi, calon UMNO Sungai Kandis, Lokman Noor Adam dan tetamu utama Tan Sri Annuar Musa. Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos turut kelihatan berdiri bersama barisan pemimpin di atas pentas. Presiden UMNO, Datuk Zahid Hamidi tidak kelihatan kerana sedang menunaikan haji di Mekah.