Pemuda Pakatan Harapan Kecam Keras Tindakan Tajuddin Bangkit Semangat Perkauman

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Pemuda Pakatan Harapan Perak mengecam keras tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman kerana didakwa cuba menghasut rakyat Perak dengan menyentuh isu perkauman antaranya kuasa orang Melayu diganggu-gugat dan terhakis apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan negeri.

Justeru, ketuanya, YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, Pemuda Pakatan Harapan berharapĀ pihak berkuasa berkenaan dapat segera mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Tajuddin kerana dibimbangi sekiranya dibiarkan boleh mengundang berlakunya ketegangan kaum.

“Pada saya ianya sangat bahaya bila wujud rasa tidak senang dan kebimbangan hubungan antara kaum susulan tindakan Datuk Seri Tajuddin ini.

“Semalam kita meraikan Hari Kemerdekaan dengan tema `Sayangi Malaysiaku’…ada seorang pemimpin pada saya bukan orang yang matang yang tak boleh terima hakikat bahawa rakyat Malaysia telah bertindak secara matang apabila memilih kerajaan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke 14 lalu.

“Pada saya UMNO, BN masih lagi tidak belajar kesilapan mereka…mereka masih mengulangi kesilapan lama iaitu masih mengulangi isu perkaumanan dan agama.

“Saya mengharapkan pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya agar perkara ini dapat dikawal sebelum terlambat.

“Ini sebagai memberi peringatan supaya tindakan cuba menghasut rakyat Perak dalam isu berkaitan Melayu, bangsa dan juga istana dapat dikawal,” katanya kepada pemberita di Ipoh pada Sabtu.

Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi mengulas isu satu rakaman video yang tular di media sosial semalam yagn kandungannya orang bernama Datuk Seri Tajuddin cuba menghasut rakyat Perak khususnya berkaitan isu perkauman antaranya kuasa orang Melayu di Perak diganggu gugat dan terhakis.

Mengulas lanjut beliau menegaskan sepertimana yang dinyatakan Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu, suasana politik di Perak adalah stabil malah mendapat sokongan penuh rakyat.

“Kita juga menjalin hubungan baik dan erat dengan pihak istana dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak,” ujarnya.

Katanya, Pemuda Pakatan Harapan akan membuat satu laporan polis petang ini berhubung perkara itu.