Sambutan Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Negeri Perak Disambut Meriah

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Negeri Perak yang diadakan di hadapan Dewan Bandaran Ipoh disambut dalam suasana meriah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan menyertai sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke-61 itu bersama 15,000 rakyat berbilang kaum .

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim serta dua anakanda Sultan Nazrin iaitu Raja Kechil Besar Perak, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan barisan Exco kerajaan negeri.
Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Division yang berpengkalan di Kem Sangro Taiping diketuai Leftenan Kolonel Annuar Kaliman.