Khabar Angin DUN Perak Akan Bubar Tidak Benar

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu menjelaskan khabar angin yang tersebar dalam aplikasi Whatsapp kononnya pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan di Perak adalah tidak benar.

Sambil menyifatkan pihak yang menyebar berita palsu itu sebagai amat tidak bertanggungjawab, beliau menasihati mereka supaya segera menghentikan tindakan yang sia-sia dan merugikan itu.

“Isu pembubaran Dun bukan satu perkara yang boleh dimain-mainkan,ia hanya akan menimbulkan lagi banyak perpecahan kalangan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas sesi wawancara bersama Perak FM di Ipoh pada Khamis.

Beliau mengesahkan bahawa mesej tular sejak semalam itu sama sekali tidak benar dan merupakan cubaan untuk mewujudkan perbalahan di kalangan pemimpin dan rakyat.
Menurutnya, baik pembangkang atau mereka di pihak kerajaan, masing-masing perlu memainkan peranan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya idea (mesej) ini, tapi saya fikir ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Kepada pihak yang mengeluarkan cerita bahawa saya perlu mengadap baginda Sultan Perak untuk perkenan bubar Dewan dan sebagainya…saya minta dia pergi solat taubat, bersihkan diri.

“Jangan lagi buat perkara yang bukan-bukan seperti ini kerana ianya merugikan dan membazir waktu.

“Adalah lebih baik, masa yang ada digunakan untuk membincangkan cara majukan rakyat, bukan untuk berpolitik sepanjang masa.” katanya.

Sejak semalam, tular mesej meminta rakyat bersiap sedia menghadapi PRN yang akan diadakan pada bila-bila masa. Kandungan mesej itu turut menyebut bahawa BN akan bergabung dengan PAS untuk merebut 40 kerusi DUN.

Mengulas lanjut mengenai isu itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan Pakatan Harapan masih mempunyai mandat lima tahun sebagai pentadbir Perak.