Sah Unit Tahfiz Al-Barakah Diserah Kepada Pengurusan Baharu

Reading Time: < 1 minute

MANJOI: Kemelut besar yang dihadapi Unit Tahfiz Al-Quran di Pusat Pendidikan Al-Barakah baru-baru ini sudah berakhir.

Ini susulan secara rasminya Unit Tahfiz itu diserahkan kepada pengurusan baharu, Pusat Pengajian Al-Ulya, hari ini.

Menurut pemiliknya, Datuk Mohd Kazim Elias, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada pengurusan baharu itu dan mereka hanya mengendalikan pengajian pondok.

“Kami melepaskan Unit Tahfiz ini yang melibatkan beratus pelajar lelaki dan perempuan serta guru-guru dan kakitangan kepada Pusat Pengajian Al Ulya.

“Bangunan Darul Barakah yang tular bulan lepas untuk dijualkan secara rasminya kekal menjadi milik Al Barakah tetapi diberikan kepenggunaan kepada pengurusan baharu tanpa dikenakan caj sewaan termasuk kemudahan lain,” katanya.

Kazim berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Unit Tahfiz Al-Quran, Pusat Pendidikan Al- Barakah kepada Pusat Pengajian Al-Ulya di Manjoi pada Khamis.