Sambut Merdeka Dengan Semangat Baru – Ahmad Faizal

Reading Time: < 1 minute

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata warga Perak akan mula merasai kemeriahan sambutan hari kemerdekaan pada jam 6 petang ini.

Menurutnya, acara qasidah dan selawat serta solat Maghrib berjemaah akan diadakan di Dataran Bulatan Amanjaya sementara menunggu detik 12 malam. Turut akan memeriahkan acara ialah beberapa artis undangan iaitu kumpulan Rabbani, Akhil Hayy, Ejam Medicine, Ali XPDC dan Reyno Mega.

Pada pukul 9 malam, beliau sendiri akan melancarkan flag-off Kayuhan Merdeka anjuran Perbadanan Menteri Besar 2018 di Dataran Bandaraya Ipoh.

Belia bercakap dalam sesi wawancara dengan stesen radio Perak FM petang tadi.

Bercakap mengenai semangat sayangkan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang, beliau berpendapat masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki kerana masih banyak kediaman, premis perniagaan dan kenderaan yang tidak memasang Jalur Gemilang dan ini agak mengecewakan.

“Tidak ada sebab untuk kita tidak mengambil bahagian kerana ini adalah perayaan untuk seluruh negara.

“Saya berharap supaya kesedaran akan dipertingkatkan lagi menjelang sambutan Hari Malaysia 16 September depan,” tambahnya.

Ahmad Faizal menyatakan bahawa sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini adalah berbeza dari sebelum ini kerana kali ini disambut dengan semangat yang baru.

“Sekarang kita meraikan Hari Kebangsaan di bawah semangat Malaysia Baharu, jadi saya mahu melihat semua rakyat di Perak ini lebih bersemangat menyambut Hari Kebangsaan. Ini lah masa untuk kita menunjukkan kecintaan kita kepada tanah bertuah ini.,” katanya.