Masalah Sistem Ladang Ternakan Khinzir Selesai Hujung Tahun Depan

Reading Time: 2 minutes

IPOH:Kerajaan Perak memberi jaminan akan menyelesaikan masalah sistem ladang penternakan khinzir di negeri ini pada hujung tahun depan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan, sebanyak 57 daripada 115 ladang ternakan khinzir di negara ini telah memenuhi piawaian ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Lima puluh tujuh ladang telah ditukar kepada konsep ladang tertutup iaitu sebanyak 53 peratus manakala baki 21 ladang beroperasi di atas tanah milik kerajaan dan 34 atas tanah persendirian.

“Antara 21 ladang khinzir ini enam telah mohon pertukaran lokasi dan baki hanya 15 ladang menggunakan tanah kerajan akan kita syorkan langkah penyelesaian selepas dapat maklum balas daripada jabatan veterinar untuk kelulusan sekiranya menetapi syarat dan kriteria yang ditetapkan,” katanya pada perjumpaan dengan wakil persatuan penternakan khinzir negeri Perak di Bangunan Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak iaitu Dr Ahmad Shafri Hassan.

Pada perjumpaan itu wang sejumlah RM400,000 untuk Tabung Harapan telah disampai oleh Persatuan Penternakan (Khinzir) Negeri Perak. Menurut Sivanesan, satu jawatankuasa telah dibentuk sebelum ini bagi menguruskan 115 ladang khizir di negeri ini malah kerajaan persekutuan telah memperkenalkan satu daar dan polisi bagi menggunakan sistem ladang tertutup untuk penternakan babi sehingga tahun 2021.

“Sepatutnya kesemua ladang ditukar perlu menggunakan sistem ladang tertutup pada atau sebelum 31 Disember 2018 nampaknya masalah bukan sahaja di Perak tetapi seluruh negara yang masih tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Katanya, antara syarat yang perlu dipatuhi iaitu penternakan ladang tertutup, sistem pengurusan kumbahan dengan menggunakan sistem biogas, mempunyai zon penampang dengan syarat minima 200 meter dari rumah kediaman, sekolah, klinik,rumah ibadat dan tempat awam dan mengamalkan perladangan yang baik dan perlu mendapatkan kelulusan kebenaran merancang bagi setiap permohonan.

“Hasil perbincangan hampir kesemua penternak ingin mematuhi kelima-lima kriteria jadi kerajaan negeri mahu melihat masalah ini diselesaikan dalam secepat mungkin.

“Kita berhadapan masalah tidak dapat mengutip premium bagi tanah kerajaan yang telah digunakan jadi kerajaan negeri akan ambil segala usaha untuk memastikan penternakan mendapat kelulusan supaya dapat dikawal.

“Jabatan Veterinar hanya memberi lesen bagi memastikan kebersihan ladang ini dan kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat dengan kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Menurut beliau, sejumlah 540,000 khinzir di ternak di 115 ladang sekitar kawasan di Kerian, Kinta, Kampar, Manjung, Batang Padang dan Hilir Perak.