Hari ini genap setahun kerajaan diterajui Pakatan Harapan gabungan parti PKR, DAP, Bersatu dan Amanah.
Sebenarnya tidak adil untuk membuat penilaian pencapaian kerajaan baru setahun jagung ini jika hendak dibandingkan dengan kerajaan terdahulu yang telah memerintah selama 61 tahun.
Jika hendak membuat perbandingan yang adil saksama, maka hendaklah beri Pakatan Harapan masa 61 tahun juga maka barulah ‘fair and square.
Apa yang patut diberi perhatian ialah sjauh mana perubahan yang berlaku dalam masa setahun jagung ini. Apa dasar-dasar terbaharu yang dibuat untuk menuju kepada yang lebih baik berbanding sebelum ini. Antaranya, kita boleh melihat usaha giat yang dilakukan untuk membanteras gejala rasuah di semua peringkat. Ini tidak berlaku sebelum ini. Jika adapun, hanya retorik. Pelaksanaannya sekadar melepas batuk di tangga.
Kerajaan Pakatan Harapan dilihat lebih serius menangani rasuah. Tun Mahathir berulangkali bercakap tentang kesan buruk rasuah terhadap negara. Hasilnya dalam masa tidak sampai setahun, kerajaan telah berjaya menjimatkan malah menyelamatkan jutaan ringgit wang rakyat dari ketirisan dan perbelanjaan yang tidak perlu.
Ramai pegawai-² atasan dan bawahan yang sudah biasa makan duit rasuah akan merasa sukar untuk mencari pendapatan sampingan hasil kegiatan rasuah, mendapat imbuhan dan sebagainya oleh mereka yang mendapat kontrak.
Malah kontrak secara rundingan terus tidak lagi diamalkan di era kerajaan baharu ini kecuali dalam beberapa projek yang terpaksa diselamatkan atau diteruskan.
Akibat dari rasa tidak puas hati ini, berlaku sabotaj atau tidak mahu memberikan kerjasama kepada ‘government of the day’ sebagai isyarat protes mereka kerana tidak lagi dapat menikmati kelebihan² yang mereka sudah biasa nikmati sebelum ini. Ini diakui sendiri oleh Tun Mahathir dalam wawancara bersama media semalam.
Kesannya turut dirasai oleh rakyat bawahan yang selama ini disogok dengan wang BR1M yang kian ditambah jumlahnya setiap tahun, kali ini jumlahnya dikurangkan dan hari ini ramai yang tidak pasti adalah Bantuan SAra Hidup (nama baru kepada BR1M) masih wujud di era kerajaan Pakatan.
Kita harus melihat ini sebagai suatu perkembangan yang positif. Pengurangan bantuan sara hidup atau pemnaushan sekalipun tidak membuat rakyat hidup melarat selagi mereka punya tulang empat kerat dan mampu mencari nafkah hidup dengan kudrat yang diberikan.
Tun Mahathir terkenal dengan prinsipnya tidak suka memberi wang secara percuma tanpa bekerja. Beliau mahu warga marhaen rajin bekerja, dengan bekerja keras negara bertambah maju dan ekonomi tumbuh. Itulah cara Tun. Tambahan, hakikatnya rakyat selama ini tidak sedar bahawa wang Bantuan Rakyat 1 Malaysia yang mereka terima bukanlah hasil dari kekayaan negara sebaliknya dari wang yang dipinjam. Yang menanggung hutang adalah anak cucu mereka juga, tapi ramai yang tidak sedar dan tidka mahu ambil peduli.
Kita patut membuang sikap sebegini yang memetingkan diri sendiri, kelak generasi akan datang yang akan mencemuh kita.
Sudah tiba masanya kita terus bergerak ke hadapan dan hentikan perbincangan² yang menjurus kepada cubaan untuk membuat perbandingan di antara kerajaan setahun jagung dengan kerajaan selama 6 dekad. Ia sudah pasti satu pertandingan yang berat sebelah.
Lebih baik berikan kerjasama kepada kerajaan yang ada pada hari ini dan berganding bahu untuk melihat Malaysia baru yang lebih baik dari hari² yang telah berlalu. Lupakan kisah hitam yang lalu bersama-sama bergerak menuju cita-cita untuk mencapai kemajuan ekonomi yang lebih pesat, membuka lebih peluang pekerjaan dan memberi pendapatan yang lebih baik kepada setiap rakyat Malaysia.
Kulup Lembang adalah kolumnis tetap halaman kami. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan rasmi Independent.