Perak Ikat Dua Pemain Import Brazil Tajamkan Bahagian Serangan  

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Pasukan bolasepak Perak menajamkan masalah ketumpulan jentera serangannya musim ini apabila mengikat dua penyerang muda import baharu dari Brazil hari ini.

Pemain muda import itu ialah Ronaldo Henrique Silva, 28, dan Raianderson Da Costa Morais, 23.

Ronaldo pernah beraksi dengan kelab Esporte di negaranya dan kelab Liga-J, Yokomaha FC manakala Raianderson Da Costa Morais, 23, beraksi bersama kelab Brazil, Atletico Acreano.

Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau optimis gadingan mantap kedua pemain muda ini mampu meletakkan pasukan Perak sebagai pasukan cemerlang dalam mengharungi perlawanan seterusnya musim ini.

“Saya amat yakin kedua pemain muda import ini dapat menyumbang khidmat terbaik mereka dalam pasukan ini sekaligus meletakkan pasukan Perak ditangga terbaik musim ini,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis. Hadir sama jurulatih Perak, Mehmed Durakovic.

Ahmad Faizal juga berkata, Perak menggugurkan pemain import, Gilmar manakala Wander Luiz pula terpaksa menarik diri daripada pasukan disebabkan masalah kesihatan yang dialami anaknya di Brazil.

Sementara itu Mehmed Durakovic berharap kedua-dua pemain baharu itu dapat beraksi cemerlang bersandarkan pengalaman bermain  bersama kelab ternama Brazil terutamanya dalam  mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan.

Beliau berkata, kedua pemain itu diharap dapat memenuhi harapan yang diletakkan untuk Perak memperbaiki pencapaian di tempat kelapan Liga Super ketika ini dengan 14 mata daripada 12 perlawanan dan lapan kali seri.

Menurut Mehmed, sebagai pemain penyerang dan tengah, beliau berharap kedua pemain itu dapat meledak lebih banyak gol untuk pasukan Perak.