Harap Menteri cekal pertahan kuota matrikulasi

Reading Time: 2 minutes

SAYA berpendapat bahawa YB Dr Mazlee Malik memberi justifikasi betapa diskriminasi negatif dan tidak sihat masih diamalkan dalam sebahagian besar pengusaha dan pemilik perniagaan etnik bukan peribumi terhadap orang Melayu serta anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak meskipun mereka mendapat nikmat ekonomi hasil bumi bangsa asal.

Saya kira YB Dr Mazlee sudah cukup berhati-hati memilih contoh bandingan, namun niat baik beliau disanggah seolah-olah satu tindakan hina apabila beliau mempertahankan prinsip undang-undang Negara seperti termaktub dalam Perkara 153.

Individu yang bersuara lantang untuk menghapuskan pelaksanaan polisi di bawah Perkara 153 bukan sahaja lupa diri bahkan mencabar keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Perlu diingat bahawa kemasukan ke pusat matrikulasi dan penubuhan matrikulasi itu sendiri merupakan keistimewaan pendidikan (educational privileges) yang dijamin oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Sebarang perubahan dasar yang menyentuh Perkara 153 perlu dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu seperti tersyarat di bawah Perkara 38(5) Perlembagaan Persekutuan.

Adakah tuntutan beberapa individu itu mewakili mereka yang mendesak Akta Hasutan dihapuskan? Mungkin Allah S.W.T membuka niat tersirat mereka, belum lagi Akta Hasutan dihapuskan mereka sudah menunjukkan belang.

Kepada individu yang sedang melobi untuk menghapuskan pelaksanaan polisi di bawah Perkara 153 saya nasihatkan, “jangan sergah harimau yang sekian lama dijinakkan”. Sekian lama para pemimpin dahulu hingga sekarang memupuk perpaduan nasional kenapa jambatan muhibah kamu ingin bakar?

Sedarlah individu-individu yang angkuh dan lupa diri; banyak yang boleh diungkitkan untuk mengekalkan polisi pusat matrikulasi. Orang Melayu dan peribumi bangsa asal bumi ini masih bersabar kerana cintakan keamanan. Kamu yang angkuh dianggap tidak mewakili majoriti etnik kamu yang bersyukur dan menghargai perpaduan. Kamu boleh disifatkan kumpulan pelampau yang cuba menghasut orang lain untuk mencabar pelaksanaan pentadbiran Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, saya menyeru individu-individu yang mempertikai dasar kerajaan di bawah Perkara 153 untuk menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Hormatilah kedaulatan undang-undang yang nenek moyang kamu berjanji bersumpah setia sebagai syarat diterima masuk sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu.

Cukuplah menyergah dan membangkitkan kebencian majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Hidupkanlah semangat bangsa Malaysia yang berpegang pada prinsip undang-undang seperti terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Akhir kata, hormatilah unsur-unsur watan Tanah Air ini jika kamu ingin kepentingan sah kamu dipelihara.

DATO’ DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Penasihat Gabungan MI’RAJ


Tulisan di atas diterbitkan di Harakah Daily pada 21 Mei 2019. Ia adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan rasmi Independent.my