Ikan Mati Hanyut Dari Perak, Terapung Di Perairan Pulau Pinang

Reading Time: 2 minutes

Fenomena ikan laut yang mati serta terapung di perairan Pulau Pinang pada 26 Mei 2020 lalu, adalah merupakan ikan mati yang telah hanyut dari sangkar sehingga mencemar beberapa kawasan di perairan pulau itu.

Siasatan dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) dan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang bersama Jabatan Perikanan Negeri Perak selepas menerima aduan mengenai kejadian itu secara berperingkat di Kuala Kurau, Kuala Gula dan Tg. Piandang.

Menurut FRI, siasatan awal mendapati terdapat kehadiran spesies plankton atau dikenali juga sebagai ledakan alga Cochlodinum yang tinggi di perairan tersebut.

Tambahnya, ledakan alga Cochlodinum ini merupakan kejadian yang kerap berlaku di perairan pantai di seluruh dunia pada setiap tahun.

Cochlodinium adalah spesies plankton yang toksik terhadap banyak spesies ikan dan kerang-kerangan, namun ia tidak memberi kesan kepada manusia.

Ikan mati dan terapung tersebut merupakan ikan yang telah busuk dan hanyut dari sangkar disebabkan ledakan algae bloom.

Faktor ini menyebabkan ikan sukar bernafas dan berenang di permukaan, serta menjadi tidak stabil dan akhirnya mati.

Pihak Jabatan turut mendapati ikan mati tersebut adalah spesies ikan merah dan ikan nyok nyok tetapi tiada kes kematian dilaporkan bagi ikan laut liar.

Ikan liar tidak terkesan kerana mereka dapat melarikan diri daripada perairan yang mengalami ledakan plankton ini.

Siasatan ini juga turut melihat statistik hasil tangkapan nelayan yang kekal tinggi dan ikan di laut masih dalam keadaan yang baik serta terkawal.

Jabatan Perikanan Malaysia menasihati semua penternak di kawasan tersebut memindahkan ikan ternakan dari kawasan yang terlibat ke kawasan yang tiada leadakan serta bersedia untuk menuai ikan jika ikan kelihatan tidak normal.

Penternak juga dinasihati tidak membuang bangkai ikan ke laut kerana dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan nutrien serta percambahan plankton tersebut dan seharusnya mengikut SOP pelupusan ikan seperti yang telah ditetapkan.

Susulan dari kes di Perak ini dan kemudiannya sampai ke Pulau Pinang, pihak Jabatan menjangkakan kejadian ini berkemungkinan boleh berlaku sehingga di perairan negeri Kedah.

Justerus, penternak di negeri Kedah dinasihati juga untuk berjaga-jaga serta melaporkan kepada Pejabat Perikanan Negeri sekiranya ada perubahan dalam warna air laut serta perubahan/kelakuan tidak normal pada ikan ternakan.