Impak Projek MAPS Terhadap Kerajaan Perak Jauh Lebih Besar Berbanding Skandal 1MDB

Reading Time: 3 minutes

IPOH | Sidang Dewan Negeri Perak hari ini diberitahu, secara relatifnya impak projek Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) terhadap kewangan kerajaan negeri Perak adalah lebih besar berbanding impak skandal 1MDB terhadap Kerajaan Persekutuan.

Ahli Dewan UndanganNegeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin yang memberitahu demikian semasa membahas titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkata, rakan-rakan di barisan pembangkang mungkin tidak faham betapa seriusnya impak peningkatan kos pembinaan MAPS yang ada pada kerajaan negeri.

“Saya bagi perbandingan, skandal RM42 bilion 1MDB hanya 13.35 peratus daripada Bajet Kerajaan Pusat yang bernilai RM314.5 bilion. Manakala kos pembinaan MAPS melonjak daripada kos asal RM390 juta, meningkat sebanyak RM217 juta sehingga RM607 juta yang mewakili 57.21 peratus belanjawan negeri Perak yang bernilai RM1.061 bilion.

“Untuk makluman Dewan yang mulia ini RM413 juta telah dibayar kepada kontraktor utama MAPS iaitu Sanderson Design Group Malaysia (SDGM) tetapi walaupun jumlah wang yang besar ini telah dibayar, pembinaan MAPS tidak disempurnakan malah syarikat ini telah mengalami masalah kewangan dan pada bulan Oktober 2017 telah dipindah milik kepada sebuah syarikat di British Virgin Islan (BVI) yang bernama Calgary Global Limited … do you smell a rat?

“Dan pada Februari 2018, dua bulan sebelum Parlimen dibubarkan, syarikat SDGM ini telah diisytiharkan muflis … adakah ini langkah-langkah yang telah disusun secara rapi untuk menyembunyikan duit yang telah dicuri? Do you smell a rat?

“Pada Mei 2018 semasa mesyuarat pemiutang yang dipanggil oleh pelikuidasi, kami diberitahu bahawa SDGM hanya mempunyai RM1500 dalam akaun bank mereka dan PCBD telahpun memfailkan tuntutan dengan pelikuidasi berjumlah sebanyak RM131 juta. Do you smell a rat?

“Dan anehnya sampai ke hari ini, pelikuidasi tidak pernah meminta penyata kewangan daripada pihak bank. Jika tidak ada penyata akaun bank bagaimana pelikuidasi ini boleh menentukan tuntutan pemiutang mana yang telah dibayar dan yang mana belum di bayar? Siapakah yang hendak diselindungkan sebenarnya? Do you smell a rat?

“Kalau kita teliti dari enakmen PKNP, semua pinjaman wang yang dibuat oleh anak syarikat PKNP termasuk PCB, PCBD dan ATP perlu mendapat persetujuan daripada PKNP dan juga kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

“Saya hendak Pangkor jelaskan bagaimana PCBD yang hanya memegang 51 peratus saham ATP dipaksa untuk menanggung dan bertanggungjawab sepenuhnya untuk pembiayaan tambahan bagi membina MAPS dengan meluluskan tiga perjanjian pendahuluan pemegang saham yang berjumlah RM250 juta.

“Inilah yang diperuntukkan dalam enakmen PKNP dan Pangkor haruslah bertanggungjawab sepenuhnya,’’ katanya.

Terdahulu Zhemin berkata, ketika perbahasan dua hari yang lalu banyak usaha, isu-isu yang dibangkit untuk menyekat beliau dari membangkitkan isu MAPS ini.

Malah katanya, tuduhan-tuduhan yang dibuat termasuk kononnya beliau nak menjunamkan saham PCB.

“Saya sebagai seorang Ahli Lembaga Pengarah PCB tak patut membawa isu ini ke sidang DUN kerana ini isu Public Listed Company tak boleh nak dibincang di Sidang DUN.

“Alasan-alasan ini langsung tidak boleh diterima … yang menjunamkan saham PCB itu siapa? Kerajaan UMNO dan BN,’’ katanya.

Suasana kecoh berlaku seketika apabila isu MAPS ini dibangkitkan, mantan Menteri Besar Perak yang juga Adun Pangkor, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir telah bangkit mempersoalkan tindakan Adun Keranji itu yang menyebut perkataan curi dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan yang amat serius.

Suasana Dewan kemudian bertukar panas apabila beberapa anggota Dewan daripada pihak pembangkang dan kerajaan bertikam lidah dalam isu yang dibangkitkan ini namun ia dapat dikawal oleh Timbalan Speaker yang meminta semua ahli dewan mematuhi peraturan Dewan.

Semalam Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamed yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak mempersoalkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin yang berulang kali menyerang dan mengaitkan mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam isu dakwaan salah laku pengurusan kewangan Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS).

Katanya, DUN bukan pentas sesuai untuk dibawa isu MAPS ini.