ULASAN | Nampaknya Dr. Aziz Bari begitu bersungguh-sungguh mahu menjadi ‘broker’ dalam isu pemberian hakmilik tanah kekal dilaksanakan demi memenuhi janji Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum yang ke-14.
Dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat beliau pada hari Rabu lalu, beliau berkata kerajaan negeri dijangka akan memutuskan pemberian hakmilik tanah kekal itu sebelum Tahun Baru Cina awal tahun depan.
Pada keesokan harinya, beliau mengeluarkan satu kenyataan media menyatakan pemberian hakmilik kekal itu adalah janji pilihan raya dan ia adalah merupakan dasar kerajaan yang mengikat seluruh anggota pentadbiran termasuk Menteri Besar.
Beliau nampaknya tidak berputus asa membicarakan tentang perkara itu. Sehingga penulis dapat tahu ada di kalangan wartawan yang berkata mereka ‘sudah bosan’ melayan karenah Aziz Bari yang cuba menggunakan media membuat sidang akhbar bercakap tentang isu yang sama.
Jelas nada beliau tidak sama dengan Menteri Besar. Dalam satu program di Tualang Sekah pada Khamis, MB berkata isu ini perlu dibawa kepada perhatian Perdana Menteri dan Majlis Tanah Negara untuk dibincangkan.
Ahmad Faizal dalam masa yang sama mengeluarkan kenyataan supaya tidak mempergunakan media sebagai platform untuk menyuarakan pandangan yang boleh mengelirukan rakyat – seolah menyindir tindakan Aziz.
Ahmad Faizal tidak memberi kata putus sama ada mahu melaksanakan pemberian hakmilik kekal atau tidak. Tapi sejak tahun lepas lagi beliau mengulangi nada yang sama. Beliau sepatutnya sudah memberi kata putus. Kalau ya, katakan ya. Kalau tidak, kata tidak. Sebagai Menteri Besar, beliau boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengenepikan mana-mana janji manifesto yang difikirkan tidak perlu dilaksanakan atau belum masanya. Mungkin beliau boleh memberikan alasan janji itu memerlukan masa untuk dilaksanakan atau perlu dilakukan oleh Menteri Besar lain selepasnya. Jawab secara jelas dan tuntas. Tidak perlu berdolak dalih. Masalah dengan DAP ialah mereka sering mengatakan sebarang keputusan perlu melalui konsensus. Mereka menganggap Menteri Besar hanya sebagai patung. Tetapi mereka lupa jika Menteri Besar tidak menurunkan tanda tangannya, maka ia tidak boleh dilaksanakan.
Aziz Bari dalam sidang media terbaru pada Jumaat minggu yang sama memberitahu wartawan bahawa tidak perlu dibawa kepada perhatian Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri mahupun Majlis Tanah Negara. Katanya segalanya terletak kepada kuasa kerajaan negeri.
Apa yang menjadi persoalan, mengapa Aziz begitu beriya-iya menyentuh tentang isu ini dan mahu ia segera dilaksanakan walaupun ia bukan terletak di bawah portfolio beliau. Malah beliau seolah-olah mendahului peranan Ahmad Faizal yang memegang portfolio hal ehwal tanah dengan berkata kerajaan akan memutuskan tentang perkara itu sebelum Tahun Baru Cina.
Aziz berkali-kali berkata ia tidak ada kaitan dengan perkauman. Beliau mendakwa mahu memberi keutamaan menunaikan janji manifesto kepada semua bangsa termasuk Cina, Melayu dan India yang mendiami kampung-kampung baharu, kampung tersusun, tanah rancangan Felda dan estet-estet.
Yang menimbulkan tanda tanya ialah kenapa beliau menyebut sebelum Tahun Baru Cina? Kenapa tidak sebelum Hari Raya Puasa atau hari perayaan lain?
Adakah ini menunjukkan ia ada unsur-unsur tekanan dari kumpulan tertentu di dalam DAP yang mahu memperjuangkan kehendak kaum Cina rentetan kekalahan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai yang telah membuktikan undi Cina telah kembali kepada MCA. DAP melihat mereka semakin tidak mendapat sokongan dari orang-orang Cina sendiri kerana gagal membawa suara dan kehendak mereka. Maka dalam isu pemberian tanha hakmilik kekal ini, mereka cuba menjadi hero kepada orang-orang Cina.
Penulis bukan nak berbohong tapi kalau pembaca semua boleh bawakan 7 ke 8 dari 10 orang Melayu yang tinggal di kampung tersusun atau Felda yang begitu mendesak mahu mendapatkan hakmilik kekal, sila beritahu penulis.
Bagi penulis, orang Melayu tidak begitu terdesak mahukan hakmilik kekal. Golongan peneroka yang bergelut dengan harga komoditi lebih memikirkan tentang pendapatan dari memikirkan tentang hakmilik tanah kekal.
Setakat ini tidak kedengaran suara yang begitu lantang dari kalangan orang-orang Melayu yang mahu menuntut hakmilik tanah kekal. Bagi mereka, ia tidak relevan buat masa ini. Ada beberapa perkara lain yang lebih diutamakan berbanding memperjuangkan hakmilik kekal.
Terbaru, Aziz menuding jari pula ke arah seseorang dari parti Amanah (yang tidak disebut namanya) yang menulis janji manisfesto pemberian tanah hakmilik kekal dan berkata ia bukannya agenda DAP. Tetapi yang peliknya suara beliau yang paling lantang menyuarakan isu ini. Beliau lupa DAP sebahagian dari Pakatan Harapan.
Apa yang diperjuangkan oleh Aziz Bari itu boleh dikatakan lebih kepada untuk memenuhi kegusaran DAP yang sedang mengalami krisis kepercayaan pengundi Cina. Manifesto pilihan raya hanya alasan bagi menunjukkan DAP begitu komited mahu memenuhi janji. Dalam masa yang sama, banyak janji yang lain yang belum tertunai. Contohnya, menurunkan kadar tarif air dan menyemak semula cukai pintu.
Mereka sedang memikirkan masa depan politik mereka. Perjuangan memberi hakmilik tanah kekal ini hakikatnya bukan untuk kaum Cina semata-mata, ia lebih kepada survival politik parti DAP yang majoriti ahlinya Cina. Aziz sebagai satu-satunya Melayu di dalam parti DAP digunakan untuk memberi tekanan kepada Menteri Besar agar ia tidak kelihatan perkauman.
Umum tahu tentang perkara ini. Di media sosial, Aziz Bari sering menerima komen dan kecaman netizen yang tidak berkesudahan. Malah di Facebook beliau sendiri, netizen menulis komen mengecam beliau terang-terangan.
~ Selipar Getah
Penulis menggunakan nama samaran. Penulis adalah seorang pemerhati politik. Tulisan beliau tidak semestinya mewakili pandangan rasmi Independent