Isu Pembelaan Masyarakat Orang Asli Hangatkan PRK Parlimen Port Dickson

Reading Time: 3 minutes

PORT DICKSON: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang sedang berlangsung ketika ini dihangatkan dengan isu hak dan kepentingan masa depan masyarakat orang asli yang didakwa diabaikan oleh kerajaan terdahulu.

Aktivis dan Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Ramesh Arumugam Chettiar yang turun padang berkempen pada PRK itu berharap kerajaan Malaysia baharu pimpinan Tun Mahathir Mohamed tidak mengamalkan budaya lama kerajaan terdahulu yang beliau dakwa mengabaikan hak dan kepentingan 300,000 masyarakat orang asli dalam negara ini.

Beliau menegaskan sebenarnya budaya lama yang diamalkan kerajaan terdahulu menjadikan masyarakat orang asli sebagai `pengemis’ dalam negara sendiri dan dibimbangi sekiranya budaya ini masih diteruskan kerajaan Pakatan Harapan hari ini maka nasib masa depan kaum itu akan terus dipinggirkan tanpa kesudahannya.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jangan mengamalkan budaya lama kerajaan BN…Ini janji yang dibuat Tun Mahathir Mohamed kepada masyarakat orang asli semasa kami mengadakan perjumpaan dengan Tun M sebelum pilihan raya umum lalu,’’ kata Ramesh kepada Independent.my pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ramesh dalam kempennya berkata, masyarakat orang asli bukan sahaja di Parlimen Port Dickson malah di seluruh negara kini mahukan kepastian dan penjelasan sama ada kerajaan mahu meneruskan BR1M atau sebarang bentuk bantuan kewangan kepada mereka yang akan dibentangkan pada Belanjawan Negara tahun depan.

Katanya, penjelasan ini perlu segera dibuat memandangkan kos sara hidup rakyat ketika ini yang semakin meningkat ditambah lagi dengan pelaksanaan SST.

“Lapan puluh peratus kehidupan masyarakat orang asli di seluruh negara adalah tergolong dalam masyarakat yang tidak mempunyai pendapatan.

“Kaum itu tinggal di kampung-kampung jauh di pedalaman sehingga menyukarkan mereka mencari pekerjaan di pekan-pekan berhampiran kawasan perkampungan mereka.

“Rata-rata sebahagian besar mereka ini menetap di kawasan sekitar perkampungan sahaja dengan meneruskan kehidupan tradisi bertani dengan memakan hasil tanaman seharian terutmanya ubi kayu ….Inilah gambaran sebenar kehidupan seharian 300,000 masyarakat orang asli di negara ini.

“Empat puluh peratus masyarakat orang asli ini pula terpaksa bergantung dan meneruskan kehidupan menggunakan air-air sungai …tapi malangnya hari ini kehidupan mereka terjejas apabila berlaku kerosakan hutan dan alam sekitar susulan aktitiviti pembalakan hasil pemberian konsesi balak oleh kerajaan negeri terdahulu.

“Aktiviti pembalakan yang tidak terkawal bukan sahaja menjejaskan sumber air sungai malah melenyapkan kawasan pertanian yang menjadi sumber utama makanan mereka,’’ katanya.

Ramesh bersama masyarakat orang asli

Ramesh berkata, dalam era kerajaan Malaysia Baharu ini semua kerajaan negeri perlu menghentikan segera kegiatan pembalakan yang tidak terkawal bagi melindungi kawasan tanah-tanah adat masyarakat orang asli.

“Kerajaan baharu ini perlu memastikan semua kerajaan negeri tidak meluluskan permit pembalakan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan tanah adat masyarakat orang asli.
“Ini selaras dengan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dimana masyarakat orang asli adalah pribumi dan hak mereka mesti dilindungi,’’ ujarnya.

Ramesh turut meminta agar pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) supaya berperanan lebih efektif dengan sentiasa menjaga kepentingan demi kesejahteraan kaum itu.

“Jakoa jangan hanya mementingkan kehendak kerajaan negeri sahaja tetapi perlu juga menjaga kepentingan masyarakat orang asli ….perlu diingat bahawa tanpa orang asli mereka tidak ada pekerjaan,’’ jelasnya.

Beliau optimis kemenangan calon PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK nanti dapat memberi perubahan baru kepada nasib masa depan masyarakat orang asli bukan sahaja di Parlimen Port Dickson malah di seluruh negara.

Malah menurut Ramesh ramai masyarakat orang asli akan turun beramai-ramai membuang undi untuk memberikan sokongan mantap bagi memastikan kemenangan memihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara PH, PAS dan lima calon Bebas. Calon PKR, Anwar Ibrahim akan ditentang calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas. Mereka ialah bekas Menteri Besar N. Sembilan, Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Chan Kee Leong, Lau Seck Yan, Kan Chee Yen dan Rajindran Kumar.