J Global Resources Lebarkan Perniagaan di Perak

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Bagi seorang usahawan muda kelahiran Buntong, Javendra Kumar, beliau melihat dan optimis Perak berpotensi besar untuk melebarkan sayap perniagaannya dalam industri digital, inkjet dan perkhidmatan pencetakan.

Beliau yang merupakan pengasas serta Pengarah Urusan J Global Resources Sdn. Bhd turut memberi jaminan bahawa perkhidmatan dan produk-produk jualan  yang ditawarkan kepada orang ramai yang amat berpatutan mengikut kemampuan mereka.

“Selain itu, syarikat kami turut menyediakan perkhidmatan pengurusan acara di beberapa kawasan seperti program sosial, perasmian pengenalan produk perniagaan, bengkel promosi dalam talian, pengiklanan, penganjuran`road show’ dan  majlis-majlis keramaian.

“Kami yang sudah menapak dalam industri ini selama empat tahun malah mempunyai sebuah kilang di Kuala Lumpur amat berpuas hati kerana berjaya memenuhi permintaan dan kehendak pelanggan kami sekaligus menyelesaikan permasalahan mereka,’’ katanya.

Javendra berkata demikian kepada pemberita selepas memperkenalkan produk keluaran syarikatnya di pusat One Stop Centre J Global Resources Sdn. Bhd, di No 8, Regat Tun Perak,Ipoh pada Rabu.

Beliau turut menekankan misi penting yang dibawa syarikatnya bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan dan dilengkapi dengan ilmu selaras dengan perkembangan teknologi digital masa kini.

“Justeru itu kami menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk generasi muda ini seperti penganjuran latihan pendidikan berasaskan digital, konsultansi, pendidikan e-commerce, program akademik dan  saluran media online,’’ katanya.

Javendra apabila ditanya kenapa memilih Perak sebagai tapak kedua pelebaran syarikatnya selepas Kuala Lumpur, katanya, ini kerana belum ada syarikat seumpamanya yang menyediakan perkhidmatan berasaskan digital, pencetakan aparel, inkjet, pencetakan offset dan sebagainya di negeri ini setakat ini.

“Sebelum melebarkan perniagaan di Perak, saya telahpun membuat kajian mendalam dan mendapati orang ramai amat memerlukan perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat seperti J Global Resources ini.

“Jika diizinkan selepas berkembang perniagaan nanti saya bercadang untuk melebarkan rangkaian perniagaan kami ke Pulau Pinang dan Kedah,’’ katanya.

Javendra berkata, selain bidang pencetakan, syarikatnya juga menawarkan perkhidmatan percetakan baju T dari pelbagai jenis kain termasuk jaket, baju korporat, uniform, vest dan jersi.

“Pembeli yang berminat boleh membuat pesanan mengikut selera dan kehendak mereka malah harga yang kami tawarkan juga berpatutan mengikut kemampuan pembeli,’’ katanya.