Bebaskan Pengerusi KEADILAN Negeri Serta-Merta – Arafat

Reading Time: < 1 minute

IPOH | ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat dalam satu kenyataan media mendakwa pihak polis Bukit Aman bersikap “double standard” dalam penahanan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak dan harus membebaskannya serta-merta.

Ini memandangkan Pengerusi Negeri tersebut yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden KEADILAN sedia memberi kerjasama kepada pihak polis dan polis tidak sepatutnya menahan reman terhadap seseorang yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin yang ‘terlibat’ dalam adegan video seks luar tabi’i, menurut kenyataan yang dikeluarkan.

Arafat menyatakan KEADILAN Perak tidak campur tangan dalam siasatan yang dijalankan tetapi pihak polis Bukit Aman harus menunjukkan profesionalisme dalam siasatan mereka.

“…adakah logik Polis Bukit Aman untuk menyiasat siapa yang menyebarkan padahal mereka tidak menjurus siasatan siapa yang terlibat secara langsung dan pelaku dalam adegan video seks luar tabii tersebut,” menurut Arafat.

Beliau menegaskan undang-undang haruslah saksama kepada semua pihak tanpa mengira kedudukan.

Beliau dalam kenyataan itu menggesa pihak polis Bukit Aman membebaskan Pengerusi KEADILAN itu serta-merta dan mengesahkan siapa pelaku di dalam video seks luar tabii tersebut kerana itu yang rakyat hendak tahu.

“Saya sokong pendirian presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim , bahawa sekiranya video tersebut didapati benar maka pemimpin terlibat perlu letak jawatan,” katanya.

Arafat turut mengingatkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin yang mengorbankan segalanya demi rakyat dan negara. Beliau merupakan pemimpin yang mampu mengangkat seseorang.

“Anda bukan sesiapa sehingga Anwar menjadikan anda seseorang,” ujar Arafat.