Ada Pihak `Kemaruk’ Nak Jadi Exco Mahu Jatuhkan Saya – Abdul Yunus

Reading Time: 2 minutes

KUALA KURAU | ADUN Kuala Kurau dari PKR, Abdul Yunus Jamhari mendedahkan ada pihak `kemaruk’ hendak menjadi Exco sehingga sengaja membuat fitnah untuk menjatuhkannya.

Beliau percaya laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli Majlis Daerah Kerian (MDK), Beh Yong Kean yang mendakwa kononnya beliau membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mendapatkan habuan daripada dua syarikat pertanian merupakan usaha mahu menjatuhkannya.

Abdul Yunus juga berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa usaha mahu menjatuhkannya itu didorong oleh kem-kem tertentu dalam PKR dengan membuat fitnah mereka-reka cerita palsu terhadap dirinya.

“Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang, kemelut melanda saya timbul ada sebab dan tidak akan berlaku secara kebetulan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Skim Perlindungan Takaful Tabarruq peringkat DUN Kuala Kurau di Pusat Khidmat Harapan, Jalan Pantai, Kuala Kurau pada Khamis.

Ditanya mengenai desakan agar beliau bercuti, Abdul Yunus bertegas menyatakan pendiriannya bahawa beliau berpegang teguh kepada prinsip `Rule Of Law’ bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah.

“Tiada masalah untuk saya meneruskan tugas sebagai Exco dan ahli pimpinan parti  dalam memperjuangkan agenda rakyat,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak.

Abdul Yunus juga menegaskan bahawa laporan polis yang dibuat terhadap dirinya tidak langsung menjejaskan tumpuan tugasannya sebagai Exco kerajaan negeri malah sebaliknya menguatkan lagi semangatnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan yang diwakilinya selama ini.

Menurutnya, susulan kesnya ramai pemimpin PH tidak putus-putus menghantar mesej menyatakan sokongan mereka kepadanya dan sokongan turut diterima daripada pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS.

Sehubungan itu, melihat kepada senario mutakhir ini, Abdul Yunus menggesa PKR bergerak kembali ke landasan asalnya dengan meneruskan agenda rakyat.

“Kita kena hentikan politik murahan dan kotor kerana rakyat semakin meluat dan menyampah dengan gelagat politik kotor … ingat … rakyat di luar sana sedang menilai kita … berikan tumpuan penuh kepada agenda rakyat,” katanya.